NEW DELHI, 26 JAN – Presiden Emmanuel Macron hari ini menjadi tetamu kehormat bagi perarakan ketenteraan tahunan India yang penuh gemilang, dalam satu lawatan negara yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan strategik Perancis dengan ekonomi kelima terbesar dunia itu.
Acara tahunan Hari Republik di pusat New Delhi adalah suatu pertunjukan dirancang teliti yang menampilkan barisan kereta kebal, lintas terbang jet pejuang, aksi motosikal akrobatik dan barisan unit unta yang berhias.
Tahun ini bertepatan dengan lawatan diplomatik dua hari yang mencerminkan perkongsian yang semakin meningkat antara India dan Perancis, selepas Macron menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri, Narendra Modi pada sambutan Hari Bastille di Paris tahun lalu.
Macron telah mendesak penglibatan Perancis yang lebih besar di Asia-Pasifik pada masa Washington dan sekutu Baratnya berusaha memperkukuh hubungan dengan India sebagai pengimbang ketenteraan dan ekonomi kepada China.
Sebelum ketibaannya di India, pejabat Macron berkata India adalah ‘rakan kongsi utama dalam menyumbang kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa’.
Perancis juga berharap untuk membina kontrak ketenteraannya dengan India, yang sudah menjadi pembeli jet pejuang Rafale buatan Perancis dan kapal selam kelas Scorpene dalam perjanjian berbilion dolar.
India pula telah berusaha untuk memodenkan angkatan tenteranya dan telah meminta bantuan Perancis untuk mengembangkan industri pertahanan peribuminya, membolehkannya untuk mempelbagaikan pembelian senjata mengatasi pembekal tradisionalnya, Rusia.
“Ideanya adalah untuk membina rantaian bekalan pertahanan yang boleh memenuhi keperluan pertahanan India dan Perancis,” kata birokrat tertinggi Kementerian Luar New Delhi, Vinay Kwatra kepada pemberita. – AFP


