BUENOS AIRES, 6 DIS – Pendakwa raya Peru kelmarin berkata pihaknya telah memulakan siasatan awal terhadap Presiden Dina Boluarte berhubung dakwaan beliau meninggalkan jawatannya selama hampir dua minggu pada 2023 untuk menjalani prosedur pembedahan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kementerian Awam negara dalam satu kenyataan yang disiarkan di platform media sosial X memaklumkan bahawa Boluarte sedang disiasat ‘atas dakwaan kesalahan pengabaian tugas rasmi, dan/atau sebagai alternatif atas dakwaan kesalahan meninggalkan jawatan.’
Pendakwa raya turut menjelaskan bahawa siasatan ini berkaitan dengan kegagalan presiden untuk memaklumkan bahawa beliau tidak dapat menjalankan tugasnya buat sementara waktu pada 2023 dari 29 Jun hingga 9 Julai, akibat prosedur pembedahan yang dijalani beliau.
Perdana Menteri, Alberto Otarola Selasa lalu mengakui bahawa presiden tidak memaklumkan kepada Kongres melalui jawatankuasa Parlimen, sambil mengesahkan beliau telah menjalani pembedahan hidung.
Kerajaan sebelum ini menafikan bahawa Boluarte mengambil cuti, menurut media tempatan.
“Namun, tidak pernah sekali pun beliau mengabaikan tugasnya sebagai presiden dan saya maklum mengenai perkara ini kerana saya adalah presiden Majlis Menteri pada waktu itu,” kata Otarola kepada jawatankuasa berkenaan. – Bernama