Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) menjadi tumpuan dan salah satu destinasi dalam rangka Program Lawatan Negara oleh Presiden Republik Kosovo, Puan Yang Terutama Datin Laila Utama Dr Vjosa Osmani-Sadriu dan suami, First Gentleman Prindon Sadriu bersama rombongan, kelmarin.
Ketibaan Presiden Republik Kosovo dan delegasi di bangunan ikonik tersebut disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB, bersama isteri.
Puan Yang Terutama kemudian menandatangani buku lawatan dan menerima cenderamata kenang-kenangan sebagai simbolik penghormatan daripada pihak tuan rumah.
Presiden Republik Kosovo seterusnya dibawa melawat galeri BKISHHB, sambil diberikan taklimat dan penerangan terperinci oleh Pengarah BKISHHB, Dr Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad mengenai koleksi dan kemudahan di institusi tersebut.
Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Menteri Pengiring, bersama isteri.
BKISHHB merupakan mercu tanda seni bina Islam moden yang dibina di atas salah satu kawasan tertinggi di ibu negara, terletak di Jalan Pengiran Babu Raja, hanya kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah telah berkenan merasmikan bangunan tersebut pada 12 Oktober 2019.
BKISHHB merupakan manifestasi kepimpinan intelektual Baginda Sultan dalam memelihara, memperkasa dan menyebarkan tamadun serta budaya Islam, di samping mempromosikan warisan ilmu Islam kepada masyarakat global.