ISTANBUL, 12 MEI – Presiden Rusia, Vladimir Putin, hari ini mengalu-alukan para peserta Forum Ekonomi Antarabangsa Russia-Islamic World: KazanForum edisi ke-16, sambil menyeru kepada pengukuhan kerjasama antara Rusia dan dunia Islam dalam bidang kewangan, teknologi dan keselamatan serantau, lapor agnesi Anadolu (AA).
“Dengan penuh mesra saya mengalu-alukan anda ke Kazan yang suka menerima tetamu,” kata Putin dalam mesej kepada para tetamu forum yang akan bermula esok di ibu kota wilayah Tatarstan.
Acara yang berlangsung hingga 18 Mei itu menghimpunkan delegasi dari lebih 100 negara.
Walaupun berdepan ketegangan global, Putin menegaskan komitmen Rusia untuk terus memperluas kerjasama dengan negara-negara majoriti Islam dalam bidang ekonomi, sains, pendidikan dan kemanusiaan.
“Usaha bersama untuk membangunkan sistem kewangan digital akan dibincangkan dalam mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Dunia Islam yang turut disertai wakil Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya.

Agenda forum tahun ini merangkumi perdagangan, kewangan Islam, piawaian halal dan model kewangan berasaskan penyertaan. Para peserta terdiri daripada pegawai organisasi antarabangsa, kerajaan, kumpulan pelaburan dan institusi awam.
Agensi berita global Turkiye, Anadolu, merupakan rakan komunikasi rasmi forum itu.
Putin turut menyatakan bahawa forum tahun ini bertepatan dengan ulang tahun ke-80 kemenangan Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia Kedua, dan mengaitkan warisan itu dengan cabaran keselamatan global semasa.
“Penting untuk kita memelihara ingatan terhadap pengajaran sejarah hanya melalui usaha bersama kita dapat mengekang ancaman keselamatan moden seperti keganasan, ekstremisme dan peningkatan konflik tempatan,” katanya.
Beliau yakin forum itu akan terus menjadi platform utama untuk dialog membina dan perkongsian erat antara Rusia dan dunia Islam. – Bernama