Monday, February 3, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Serbia janji terbitkan dokumen insiden bumbung runtuh

    BELGRADE, 12 DIS – Presiden Serbia, Aleksandar Vucic, kelmarin berjanji untuk menerbitkan semua dokumen berkaitan kerja-kerja di stesen kereta api di bandar Novi Sad di mana bumbung runtuh telah mengorbankan 15 orang bulan lalu.

    “Semua dokumentasi yang kami temui, segala yang dimiliki pejabat pendakwa raya, akan diserahkan kepada orang ramai mulai 9 pagi esok dan diterbitkan dalam 24 jam,” beritahu Vucic pada sidang media, ketika ratusan pelajar mengadakan protes di luar bangunan tempat ia diadakan.

    Pemimpin itu berkata 195 dokumen akan didedahkan kepada umum.

    Vucic menambah beliau telah memutuskan untuk menjawab tuntutan pembangkang bagi menerbitkan dokumen itu dengan mengatakan ia penting demi kebenaran… untuk mencari mereka yang perlu bertanggungjawab ke atas 15 orang yang mati secara tragis.

    Kemalangan di stesen bandar utara itu berlaku 1 November lalu, berikutan kerja-kerja pengubahsuaian yang meluas di kemudahan tersebut.

    Seramai 14 orang, berumur antara enam dan 74 tahun, terbunuh di tempat kejadian dan mangsa ke-15 meninggal dunia di hospital beberapa minggu kemudian.

    Kemarahan orang ramai terhadap tragedi itu telah mencetuskan bantahan yang kerap di seluruh negara itu, dengan ramai menyalahkan kematian berpunca daripada rasuah dan pengawasan yang tidak mencukupi terhadap projek pembinaan.

    Protes tersebut menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri dan Datuk Bandar Novi Sad, dan mahu melihat mereka yang didapati bertanggungjawab didakwa.

    Menteri Pembinaan Serbia, Goran Vesic meletak jawatan berikutan insiden itu dan ditahan selama beberapa hari. Manakala 11 orang lain juga ditahan bersamanya. – AFP

    Beratus-ratus pelajar berkumpul semasa protes di luar bangunan presiden Serbia di Belgrade pada 11 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda