Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Presiden SMARTER Brunei Darussalam, Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman (gambar) telah meninggal dunia pada jam 1 pagi tadi, dengan isteri di sampingnya.
Allahyarham mengalami sesak nafas ketika meninggal dunia yang kemudian disahkan oleh doktor-doktor di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Allahyarham Malai Haji Abdullah, 66, telah berkhidmat dengan kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan sebelum beliau mula mempromosikan kesedaran isu-isu berkaitan autisme menerusi Pusat Pengurusan Latihan, Pendidikan dan Penyelidikan Isu-isu berkaitan Autisme (SMARTER) Brunei yang berkembang merangkumi dua lagi pusat iaitu kedai amal dan kedai roti.
Beliau meninggalkan isteri, empat anak perempuan, seorang anak lelaki dan 11 cucu.
Satu-satunya anak lelaki Allahyarham, yang mengalami autisme, mengaspirasikan penubuhan Pusat SMARTER Brunei, sementara itu salah seorang anak perempuannya bekerja dengan Persatuan SMARTER Brunei selepas dilatih sendiri oleh Allahyarham.
Rakan-rakan dan kenalan menyatakan bahawa pemergian Allahyarham Malai Haji Abdullah merupakan satu kehilangan yang besar kepada negara, dari segi kerja kerasnya dalam membantu membangunkan SMARTER Brunei Darussalam.
Salah seorang kenalan berkata, Allahyarham merupakan seorang yang tidak mementingkan diri sendiri, yang melakukan banyak perkara untuk masyarakat.
“Setentunya, keluarga beliau berbangga dengannya dan pencapaiannya,” ujar beliau.
Kebanyakan pertubuhan yang bekerjasama dengannya termasuk perniagaan-perniagaan merasakan kehilangan Allahyarham.
The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL), dalam ucapan takziahnya kepada keluarga Allahyarham, mengingati beliau sebagai seorang ahli masyarakat yang sangat bersemangat mengenai isu-isu berkaitan autisme, termasuk kerjasamanya dengan Caring Cup Foundation CBTL.
Masyarakat antarabangsa turut merasakan kehilangannya.
Seorang kenalan mengingati mengenai pertemuannya dengan Allahyarham yang pergi ke Vietnam pada 2013 untuk membantu menubuhkan rangkaian autisme Vietnam.
Dalam muat naik di media sosial peribadi, individu berkenaan mengucapkan selamat pergi kepada Allahyarham yang digambarkannya sebagai saudara yang mesra dan baik, yang meninggalkan merit besar kepada komuniti autisme ASEAN dan amal kepada Vietnam.
Allahyarham Malai Haji Abdullah merupakan salah seorang penerima Anugerah Padma Shri ASEAN 2018 daripada kerajaan India.
Padma Shri adalah salah satu penghargaan awam tertinggi India, yang mana penerimanya diumumkan setiap tahun menjelang Hari Republik India yang jatuh pada 26 Januari.