Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – It’s a Grind (IAG), Citis Square, Berakas (IAG), semalam, telah memberi pengiktirafan khas kepada Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman dengan anugerah berprestij Padma Shri daripada kerajaan India semasa Hari Kebangsaan India pada 26 Januari lalu.
Menurut Pengarah IAG, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan, ‘Padma Shri’ adalah antara anugerah tertinggi India kepada orang awam. Pada tahun ini, 85 orang menerima anugerah berkenaan dari 10 buah negara di rantau ASEAN bagi menyambut hubungan kerjasama India-ASEAN ke-25 tahun.
Anugerah berkenaan diberikan kepada Padma Shri Malai Haji Abdullah atas usaha berterusan beliau dalam menyebarluaskan kesedaran autisme dalam kalangan masyarakat Brunei.

“IAG juga gembira dengan pengiktirafan itu dan menyokong kecemerlangan dalam kalangan masyarakat di negara ini,” tambah beliau.
Padma Shri Malai Haji Abdullah pula berkata, beliau rasa berbangga dengan anugerah daripada kerajaan India itu dan juga diiktiraf oleh IAG, Citis Square, Berakas.
“Pengiktirafan ini akan memberi motivasi di SMARTER untuk lebih menggiatkan usaha ke standard yang lebih tinggi untuk menyebar dan memastikan bantuan kepada ibu bapa penjaga di negara ini,” ujar beliau lagi.