PARAMARIBO, 26 NOV — Presiden Suriname, Chan Santokhi, kelmarin melancarkan program baharu ‘Royalti untuk Semua’ sebagai inisiatif bagi memastikan rakyat mendapat manfaat secara langsung daripada hasil kekayaan minyak dan gas yang baru ditemui.
Suriname dan Guyana, kedua-duanya bekas tanah jajahan Belanda, dijangka menerima hasil berbilion dolar dalam tempoh beberapa tahun akan datang daripada simpanan minyak mentah luar pesisir yang besar.
Menurut pakar, Suriname, sebuah negara kecil dengan populasi seramai 600,000 orang, berpotensi memperoleh pendapatan sehingga AS$10 bilion dalam masa 10 hingga 20 tahun. Ketika ini, hampir satu daripada lima rakyat negara itu hidup dalam kemiskinan berdasarkan data Bank Dunia, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan dianggarkan sekitar AS$3.4 bilion.
Bulan lalu, syarikat tenaga Perancis, TotalEnergies, mengumumkan projek bernilai AS$10.5 bilion untuk mengeksploitasi lapangan minyak di luar pesisir pantai Suriname, dengan kapasiti pengeluaran sehingga 220,000 tong sehari, di mana pengeluaran dijangka bermula pada 2028.
Sempena ucapan Hari Kemerdekaan Suriname kelmarin, Presiden Santokhi menyatakan bahawa royalti hasil minyak dan gas akan diagihkan kepada semua rakyat negara itu.
“Setiap rakyat Suriname akan menerima manfaat dan keuntungan daripada hasil minyak dan gas ini,” katanya, sambil menambah bahawa setiap warganegara akan menerima sejumlah AS$750 yang dimasukkan ke dalam akaun simpanan, dengan kadar faedah tahunan sebanyak tujuh peratus.
“Kami pastikan semua pihak akan mendapat manfaat daripada peluang ini dan tiada siapa yang akan terkecuali,” tegas beliau. – AFP