MOSCOW, 11 NOV – Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa berkata semua individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Syria, termasuk bekas Presiden Bashar Assad perlu diekstradisi dan dibawa pulang ke Damsyik, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Antara perkara yang dibincangkan dalam rundingan dengan Syria ialah keperluan menyerahkan mereka yang dikehendaki kepada Syria, termasuk Bashar Assad. Rusia mempunyai pendirian berbeza. Namun, keadilan mesti ditegakkan,” kata al-Sharaa kepada Fox News, kelmarin.
Kumpulan pembangkang bersenjata menawan Damsyik pada 8 Disember 2024. Bashar Assad kemudian meletak jawatan sebagai Presiden Syria dan meninggalkan negara itu. Pemimpin kumpulan itu, al-Sharaa diisytiharkan sebagai presiden peralihan pada Januari dan Kabinet baharu dibentuk pada Mac.
Dalam perkembangan lain, Amerika Syarikat (AS) akan membenarkan Syria membuka semula kedutaannya di Washington bagi menyelaras usaha ekonomi, keselamatan dan memerangi keganasan, menurut seorang pegawai kanan pentadbiran AS. – Bernama

