Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Syria tiba di AS bagi lawatan bersejarah

    WASHINGTON, 9 NOV – Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, tiba di Amerika Syarikat (AS) kelmarin bagi lawatan rasmi bersejarah, sehari selepas Washington mengeluarkannya daripada senarai hitam keganasan, lapor agensi berita Syria.
     
    Sharaa, yang mengetuai pasukan pemberontak menggulingkan pemerintahan Bashar al-Assad tahun lalu, dijadualkan bertemu Presiden AS, Donald Trump di Rumah Putih, esok.
     
    Menurut penganalisis, itu merupakan lawatan pertama oleh seorang presiden Syria ke AS sejak kemerdekaan negara itu pada 1946.
     
    Pemimpin sementara Syria itu sebelum ini bertemu Trump di Riyadh pada Mei lalu semasa lawatan serantau Presiden AS berkenaan.
     
    Duta khas AS ke Syria, Tom Barrack, berkata awal bulan ini bahawa Sharaa dijangka menandatangani perjanjian untuk menyertai pakatan antarabangsa pimpinan AS menentang kumpulan militan Negara Islam (IS).
     
    Ahmad Al-Sharaa berucap semasa sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di ibu pejabat PBB pada 24 September 2025. – AP
    Sumber diplomatik di Syria turut mendedahkan bahawa AS merancang menubuhkan pangkalan tentera berhampiran Damsyik bagi menyelaras bantuan kemanusiaan serta memantau perkembangan di sempadan antara Syria dan Israel.
     
    Keputusan Jabatan Negara AS pada Jumaat untuk mengeluarkan nama Sharaa daripada senarai hitam dianggap langkah yang telah dijangka.
     
    Jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott, berkata kerajaan Sharaa telah memenuhi beberapa tuntutan AS termasuk usaha mencari rakyat Amerika yang hilang dan memusnahkan baki senjata kimia yang masih ada.
     
    “Tindakan ini diambil sebagai pengiktirafan terhadap kemajuan yang ditunjukkan oleh kepimpinan Syria selepas kejatuhan Bashar al-Assad dan lebih lima dekad penindasan di bawah rejim tersebut,” katanya.
     
    Pigott menambah langkah penyenaraian semula itu dijangka dapat memupuk keselamatan dan kestabilan serantau serta menyokong proses politik yang inklusif dan diketuai oleh rakyat Syria sendiri. – AFP 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda