Thursday, March 20, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Tunisia gantung parlimen, pecat PM

    TUNIS, 26 JULAI – Presiden Tunisia, Kais Saied, semalam mengumumkan penggantungan Parlimen negara ini dan pemecatan Perdana Menteri Hichem Mechichi berikutan insiden tunjuk perasaan terhadap parti pemerintah.

    Kedengaran bunyi hon kenderaan menyambut pengumuman yang dibuat oleh Saied selepas mengadakan mesyuarat tergempar di istananya.

    Terdahulu, ribuan rakyat Tunisia turun ke jalanan untuk menyertai tunjuk perasaan di beberapa bandar dengan mendakwa parti pemerintah telah gagal, termasuk dalam menangani pandemik COVID-19 di negara Afrika Utara ini.

    Di Tunis, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan bangunan Parlimen sambil melaungkan slogan bantahan terhadap parti pemerintah Ennahdha, serta Mechichi.

    Tunjuk perasaan turut dilaporkan di bandar Gafsa, Kairouan, Monastir, Sousse dan Tozeur.

    Pegawai keselamatan Tunisia menahan pembantah di luar bangunan parlimen di ibu negara Tunis kelmarin, susulan tindakan presiden menggantung parlimen dan memecat perdana menteri negara. –AFP

    “Rakyat mahu Parlimen dibubarkan,” kedengaran laungan mereka.

    Menurut wartawan AFP, beberapa penunjuk perasaan ditahan, manakala seorang pemberita cedera apabila peserta demonstrasi itu melemparkan batu dan polis melepaskan tembakan gas pemedih mata.

    “Perlembagaan tidak membenarkan pembubaran Parlimen tetapi membenarkan ia digantung,” kata Saied sambil memetik Artikel 80 yang membolehkan tindakan itu diambil sekiranya terdapat ‘ancaman yang bakal berlaku.’

    Saied berkata beliau akan mengambil alih kuasa eksekutif ‘dengan bantuan’ kerajaan yang diterajui pemimpin baharu yang dilantiknya sendiri.

    Selain itu, beliau berkata imuniti barisan timbalan menteri di Parlimen juga akan ditarik balik. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda