TUNIS, 21 MAC – Presiden Tunisia, Kais Saied memecat Perdana Menteri, Kamel Madouri kelmarin, menurut kenyataan dari pejabatnya, ketika negara itu bergelut dengan isu ekonomi utama.
Seorang teknokrat, Madouri, yang hanya dilantik Ogos lalu semasa rombakan kabinet secara besar-besaran, digantikan oleh bekas Menteri Kerja Raya, Sarra Zaafrani Zenzri, kata satu pengumuman rasmi.
Saied telah melahirkan rasa tidak puas hati dalam beberapa minggu kebelakangan ini dengan prestasi kerajaan berkenaan.
Tunisia dibelenggu masalah ekonomi dan kewangan dengan pertumbuhan lembap dan pengangguran yang tinggi.
Presiden, yang mempunyai kuasa mutlak untuk memecat menteri dan hakim, melantik Madouri sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2024.
Pada masa itu beliau juga menggantikan 19 menteri lain, menjustifikasi keputusannya dengan menyebut kepentingan dan keselamatan negara.
Rombakan terbaharu itu dilakukan dalam suasana politik yang tegang, dengan berpuluh-puluh penentang dipenjarakan, ada di antaranya selama dua tahun, termasuk ahli perniagaan dan tokoh media.
Saied menjadi Presiden pada 2019, dan Tunisia adalah satu-satunya demokrasi yang bangkit daripada protes yang berlaku di negara Arab. – AFP
