Presiden Turki isytihar lockdown di seluruh negara pada Hari Raya

ISTANBUL, 19 MEI – Presiden Turki mengumumkan perintah berkurung empat hari baharu semasa cuti awam umat Islam pada Hari Raya Aidilfitri akan dilaksanakan di seluruh negara untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Bercakap selepas mesyuarat kabinet, Presiden Recep Tayyip Erdogan mengatakan bahawa dia berharap sekatan itu tidak lagi diperlukan selepas perintah berkurung seterusnya antara 23 hingga 26 Mei.

Pada hujung minggu lalu, perintah berkurung negara dikuatkuasakan di 31 wilayah tetapi kali ini akan menyekat orang ramai untuk pulang ke rumah mereka di semua 81 wilayah.

Negara itu memilih untuk mengeluarkan perintah berkurung pada hujung minggu dan pada cuti awam dan bukannya penutupan sepenuhnya, kerana mereka takut kemungkinan kesan negatif ke atas ekonomi yang sudah terjejas.

Kementerian Kesihatan Turki mengumumkan 31 kes kematian baharu dalam 24 jam lalu, kes yang paling rendah sejak akhir bulan Mac lepas, menjadikan jumlah kematian kepada 4,171 orang.

Orang ramai yang memakai penutup mulut dan hidung sebagai perlindungan berjalan di Jalan Tunali Hilmi yang popular semasa perintah berkurung selama empat hari diumumkan oleh kerajaan dalam usaha untuk mengawal penyebaran COVID-19, di Ankara, Turki, pada 17 Mei. – AP

Data mereka juga menunjukkan 1,158 jangkitan baharu yang disahkan dengan jumlah 150,593 kesemuanya sekarang. Orang yang berumur lebih dari 65 tahun dan di bawah 20 tahun diarahkan untuk tinggal di rumah.

Erdogan mengumumkan bahawa warga emas akan dibenarkan keluar selama beberapa jam sahaja pada hari Ahad, sementara orang ramai diarahkan kekal berada di dalam rumah.

Kanak-kanak dan remaja akan dibenarkan keluar untuk kali kedua minggu ini dengan waktu yang diperuntukkan. Tahun persekolahan telah berakhir, kata Erdogan, dan akan disambung semula pada bulan September.

Larangan perjalanan pergi ke 15 bandar utama, termasuk Istanbul, dilanjutkan selama 15 hari.

Erdogan juga mengumumkan masjid-masjid akan dibuka semula untuk solat dua waktu sahaja mulai 29 Mei, yang akan dilakukan mengikut peraturan penjarakan sosial. Presiden juga mengatakan pembebasan sementara 60,000 tahanan dari penjara pada bulan April untuk mengurangkan kesesakan akan dilanjutkan selama dua bulan lagi. – AP