Presiden Turki tolak peletakan jawatan menteri

ISTANBUL, 13 APRIL – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, semalam menolak peletakan jawatan Menteri Dalam Negeri susulan isu perintah berkurung di seluruh negara yang dikeluarkan secara tiba-tiba sehingga mencetuskan pembelian panik.

Suleyman Soylu dikecam hebat selepas perintah berkurung 48 jam bagi memerangi penularan wabak COVID-19, diumumkan pada malam Jumaat lalu melalui notis dua jam sahaja. Pengisytiharan itu menyebabkan ribuan orang melanggar peraturan penjarakan sosial dan berpusu-pusu ke pasar serta kedai bakeri.

Jalan di Istanbul dan Ankara sesak dengan barisan panjang orang ramai yang beratur, termasuk di luar kedai runcit dan bank.

Suleyman dalam reaksinya terhadap kejadian itu pada Jumaat berkata, perintah berkurung berkenaan dilakukan atas ‘arahan’ Presiden.

Namun semalam, menteri berusia 50 tahun itu dilaporkan menerima ‘tanggungjawab sepenuhnya atas pelaksanaan langkah itu’ dengan menyatakan bahawa ia dilakukan ‘dengan niat baik’. Bagaimanapun, Erdogan enggan menerima peletakan jawatan Suleyman.

“Beliau akan terus menjalankan tugasnya,” kata Erdogan.

Suleyman memegang portfolio Kementerian Dalam Negeri pada Ogos 2016, sebulan selepas satu cubaan rampasan kuasa yang gagal terhadap Erdogan. Kerajaan menerima kritikan keras pembangkang serta dalam media sosial atas kekecohan pelaksanaan perintah berkurung itu, dengan pihak berkuasa dituduh membahayakan nyawa ribuan penduduk. – AFP

Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu menyampaikan ucapan semasa satu mesyuarat di Ankara, Turki. – AFP