Sunday, December 29, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Vietnam letak jawatan

    HANOI, 17 JAN – Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc telah meletak jawatan, menurut media kerajaan hari ini, selepas beberapa hari khabar angin mengenai beliau akan dipecat sebagai sebahagian daripada kempen besar-besaran anti-rasuah yang menyaksikan beberapa menteri dipecat.

    Phuc telah ‘menyerahkan peletakan jawatannya, berhenti kerja dan bersara’, menurut agensi berita negara VNA.

    Pemergian Phuc secara tiba-tiba itu merupakan langkah yang sangat luar biasa di Vietnam, di mana perubahan politik biasanya diatur dengan teliti, dengan penekanan pada kestabilan yang berhati-hati.

    Media kerajaan berkata parti komunis di negara itu telah memutuskan beliau bertanggungjawab atas salah laku menteri-menteri kanan di bawahnya semasa beliau berkhidmat dari tahun 2016 hingga 2021 sebagai Perdana Menteri, sebelum beliau menjadi Presiden.

    Dua Timbalan Perdana Menteri dipecat bulan ini dalam penyingkiran anti-rasuah yang telah membawa kepada penahanan berpuluh-puluh pegawai, dengan banyak dakwaan rasuah berkaitan perjanjian yang dilakukan sebagai sebahagian daripada tindak balas pandemik COVID Vietnam.

    Gambar fail 1 November 2022 menunjuk-kan Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc. – AFP

    Phuc “bertanggungjawab dari segi politik sebagai pemimpin apabila beberapa pegawai, termasuk dua Timbalan Perdana Menteri dan tiga menteri melakukan pelanggaran dan kesalahan, menyebabkan akibat yang sangat serius,” menurut VNA, memetik kenyataan rasmi jawatankuasa pusat parti.

    Awal bulan ini, Perhimpunan Negara telah menyingkirkan Pham Binh Minh dan Vu Duc Dam daripada jawatan mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri.

    Minh adalah menteri luar negeri manakala Dam bertanggungjawab dalam pengendalian pandemik COVID-19 di negara itu.

    Kira-kira 100 pegawai dan ahli perniagaan, termasuk pembantu Dam, telah ditahan berhubung skandal yang melibatkan pengedaran kit ujian COVID-19. Seramai 37 orang – kebanyakannya diplomat kanan dan polis – juga ditangkap dalam siasatan berhubung penghantaran pulang warga Vietnam semasa wabak itu.

    Selepas menutup sempadannya untuk memperlahankan penularan koronavirus, Vietnam mengendalikan hampir 800 penerbangan sewa untuk membawa pulang rakyatnya dari 60 negara dan wilayah.

    Tetapi pengembara berdepan prosedur rumit semasa membayar tambang penerbangan yang terlalu tinggi dan yuran kuarantin untuk kembali ke Vietnam.

    Phuc, 68, dilantik untuk memikul tugas presiden dalam upacara beristiadat pada April 2021 selepas memenangi pujian atas kejayaan besar negara menangani wabak itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda