TBILISI, 19 NOV – Presiden wilayah Abkhazia yang berpisah dari Georgia, mengumumkan peletakan jawatannya hari ini selepas beberapa hari protes daripada pihak pembangkang, menurut agensi berita Rusia, Interfax, yang memetik pemimpin pembangkang yang mengadakan rundingan beberapa jam dengan wakil kerajaan, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai, Presiden Abkhazia, Aslan Bzhania dan Perdana Menteri, Alexander Ankvab diminta menandatangani surat peletakan jawatan mereka, lapor Interfax.
Surat peletakan jawatan Bzhania disiarkan di saluran Telegram pejabat presiden pada awal pagi tadi.
Ribuan penyokong pembangkang menduduki Parlimen pada Jumaat untuk membantah rancangan ratifikasi perjanjian pelaburan dengan Rusia. Sidang parlimen yang dirancang tidak berlangsung akibat protes itu.
Perjanjian itu, yang dikhuatiri pihak lawan akan membuka pintu kepada oligarki Rusia untuk membeli tanah di wilayah yang popular tetapi bergelut dari segi ekonomi, mencetuskan kemarahan yang meluas.
Penunjuk perasaan pembangkang bimbang perjanjian pelaburan itu akan membolehkan oligarki Rusia membeli hartanah di wilayah yang popular tetapi agak kurang membangun dan akibatnya penduduk tempatan mungkin tidak lagi mampu untuk tinggal di situ.
Abkhazia mengisytiharkan dirinya sebagai negara merdeka, di samping wilayah Georgia di Ossetia Selatan, selepas perang menentang Georgia pada 2008 yang Rusia menyokong pasukan pemisah. – Bernama