Wednesday, April 23, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden YEAB adakan rumah terbuka

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri masih dirasakan walaupun bakal memasuki minggu ketiga Syawal dengan majlis-majlis rumah terbuka terus giat dilaksanakan.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Muda Brunei (YEAB), Hajah Norlela bin Haji Awang Buang, hari ini, juga telah menghoskan rumah terbuka di Perumahan Serasa untuk ahli-ahli YEAB dan diplomat asing ke negara ini bagi mengeratkan hubungan seterusnya menjalin rangkaian kerjasama di antara satu dengan yang lain.

    Pada majlis rumah terbuka itu, Hajah Norlela dan Naib Presiden YEAB, Dayang Fatin Arifin semasa ditemui menjelaskan perkembangan dan visi serta misi persatuan untuk membantu pengusaha muda Brunei bagi memperkembangkan lagi perniagaan mereka bukan saja di dalam negara malah di luar negara.

    Menurutnya, YEAB yang mula ditubuhkan pada tahun 2000 kini mempunyai seramai 50 orang ahli yang mana kebanyakannya terdiri daripada kalangan mereka yang mempunyai perniagaan sendiri.

    “YEAB juga membuka peluang kepada mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan di negara ini,” tambahnya.

    Antara ahli YEAB semasa membuat kunjungan ke rumah terbuka yang dihoskan oleh Presiden YEAB.
    Antara ahli YEAB semasa membuat kunjungan ke rumah terbuka yang dihoskan oleh Presiden YEAB.

    Katanya lagi, “Dengan cara ini, YEAB dapat membantu mereka untuk mengembangkan perniagaan mereka seterusnya mempromosi produk mereka ke luar negara.”

    Beliau seterusnya menjelaskan, persatuan berkenaan ditubuhkan untuk mendapatkan rangkaian kerja dengan negara-negara lain, selain itu persatuan juga bergiat aktif dalam beberapa aktiviti lain antaranya Perikatan Usahawan Muda Komanwel (CAYE) dan Majlis Usahawan Muda ASEAN.

    Di samping itu, YEAB juga sering mengadakan dialog dan forum mini bersama ahli-ahli bagi bertukar pandangan dan berbincang masalah-masalah dan isu yang dihadapi dalam usaha membantu pengusaha muda berkenaan mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih baik.

    Selain itu, tambahnya, mereka juga berusaha untuk mengadakan beberapa aktiviti dengan berjumpa dengan mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (UBD) untuk menjelaskan bagaimana cara untuk memulakan perniagaan dan membuat perbincangan terutama dengan pelajar dalam bidang perniagaan.

    Beliau menjelaskan, masalah yang sering dihadapi oleh pengusaha muda adalah masalah kewangan bagi memulakan perniagaan mereka dan dengan adanya ahli YEAB ini dapat membantu mereka dengan berkongsi pengalaman dan memberi pandangan jenis perniagaan yang akan diceburi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda