LUSAKA, 8 OKT – Sidang Kemuncak Kerajaan Digital Afrika 2025 dirasmikan di Lusaka kelmarin, dengan Presiden Zambia, Hakainde Hichilema menggesa negara Afrika agar menerima pakai platform digital sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi.
Sementara mengiktiraf usaha pemimpin Afrika dalam memajukan agenda pembangunan benua itu, Hichilema menegaskan pendigitalan menawarkan peluang unik untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi.
“Kita perlukan satu platform yang akan mempercepat agenda pertumbuhan kita, pengembangan ekonomi, pelaburan yang lebih banyak dan perdagangan. Untuk melaksanakannya, kita perlu pendigitalan,” katanya.
Hichilema sekali lagi menekankan kepentingan memberi keutamaan kepada transformasi digital, sambil menyatakan yang Afrika tidak boleh terus ketinggalan berbanding benua lain dalam kemajuan teknologi. Beliau menggesa negara Afrika untuk komited terhadap revolusi digital sebagai jalan ke arah pertumbuhan inklusif, peningkatan ketelusan dan penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Hichilema turut mengetengahkan kejayaan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) amat bergantung kepada penggunaan platform digital, yang akan membantu memudahkan perdagangan antara negara-negara Afrika.
Semasa acara itu, Menteri Teknologi dan Sains Zambia, Felix Mutati berkata teknologi memudahkan kehidupan harian dan menyatukan masyarakat dengan mewujudkan jambatan digital, sambil menambah bahawa kesalinghubungan digital yang semakin meluas kini membolehkan komuniti luar bandar turut melakukan transaksi.
Sidang kemuncak tahun ini menarik kira-kira 500 delegasi dari 26 negara Afrika. Sepanjang tiga hari acara, peserta akan membincangkan topik utama seperti identiti dan pengesahan digital, infrastruktur e-kerajaan, keselamatan siber dan perlindungan data, percukaian dalam talian selain pembayaran digital. – Bernama


