SINGAPURA, 11 OGOS – Singapura hari ini mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonominya untuk tahun ini berikutan permintaan yang lemah daripada pasaran eksport utama termasuk China dan Amerika Syarikat (AS).
Prestasi negara Asia Tenggara itu sering dilihat sebagai pengukur persekitaran global disebabkan kebergantungannya kepada perdagangan antarabangsa.
Data yang menunjukkan pertumbuhan suku kedua yang melebihi ramalan membantu bandar negara itu mengelakkan kemelesetan ekonomi, tetapi penganalisis telah memberi amaran bahawa ia menghadapi masalah pada penghujung tahun.
Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) hari ini berkata ia telah mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi tahun itu kepada 0.5-1.5 peratus berbanding anggaran sebelumnya iaitu 0.5-2.5 peratus.
“Secara keseluruhannya, penilaian MTI adalah prospek permintaan luar Singapura untuk sepanjang tahun ini kekal lemah,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
“Kemelesetan elektronik global juga berkemungkinan berlarutan, dengan pemulihan beransur-ansur dijangka dicatat menjelang akhir tahun paling awal,” tambah kenyataan itu.
Walaupun China, ekonomi kedua terbesar di dunia dibuka semula dan trend global adalah positif, risiko penurunan ekonomi dunia masih kekal, kata kementerian itu. – AFP


