Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Prestasi jualan khidmat makanan, minuman Q3 2023 meningkat

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Jualan perkhidmatan makanan dan minuman pada suku tahun ketiga (Q3) 2023 telah meningkat sebanyak 7.1 peratus berbanding Q3 2022 dengan hasil jualan meningkat daripada $107.4 juta kepada $114.9 juta.

    Manakala itu, dari segi volum jualan, aktiviti makanan dan minuman juga mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.4 peratus tahun-ke-tahun yang menunjukkan peningkatan permintaan domestik.

    Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) menjelaskan, peningkatan hasil jualan makanan dan minuman itu adalah disebabkan kenaikan bagi kesemua aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman.

    Itu termasuk aktiviti perkhidmatan katering sebanyak 15 peratus, aktiviti lain-lain perkhidmatan makanan 14.6 peratus; restoran 6.1 peratus, kedai makanan segera 5.1 peratus dan aktiviti penyajian minuman 3.3 peratus.

    Dalam laporan Indeks Jualan Runcit (IJR) dan Indeks Perkhidmatan Makanan dan Minuman (IPM&M) yang dikeluarkan hari ini, JPES turut mengongsikan bahawa bagi perbandingan secara suku tahunan, nilai dan volum jualan perkhidmatan makanan dan minuman juga telah mencatatkan peningkatan berban-ding suku tahun kedua (Q2) 2023.

    Gambar Freepik

    Nilai jualan perkhidmatan makanan dan minuman telah meningkat sebanyak 2.9 peratus pada Q3 2023 yang didorong oleh peningkatan hasil jualan bagi kedai makanan segera sebanyak 6.6 peratus sementara bagi aktiviti perkhidmatan katering mencatat sebanyak 3.8 peratus, restoran 2.7 peratus dan aktiviti lain-lain perkhidmatan makanan 0.2 peratus.

    Sementara itu, bagi prestasi jualan runcit, ia mencatatkan penurunan tahun-ke-tahun sebanyak 3.2 peratus dengan hasil jualan menurun daripada $429.8 juta kepada $416.1 juta.

    Dari segi volum jualan, aktiviti jualan runcit juga mencatatkan pertumbuhan yang negatif sebanyak 3.3 peratus tahun-ke-tahun yang menunjukkan kekurangan permintaan domestik.

    Penurunan hasil jualan runcit adalah didorong terutamanya oleh penurunan jualan barangan farmaseutikal dan perubatan, kosmetik dan barang mandian di kedai khusus sebanyak 20.9 peratus, diikuti dengan jualan jam tangan dan barang kemas 17.5 peratus, jualan perkakasan, cat dan kaca di kedai khusus 7.7 peratus dan jualan di gedung serbaneka 5.8 peratus.

    Walau bagaimanapun, beberapa aktiviti jualan runcit telah menunjukkan peningkatan terutamanya jualan makanan dan minuman di kedai khusus sebanyak 11.4 peratus, diikuti dengan jualan peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus 10.7 peratus, jualan di stesen minyak 6.7 peratus, jualan peralatan komputer dan telekomunikasi 6 peratus dan jualan di pasar raya 1 peratus.

    Bagi perbandingan secara suku tahunan, nilai dan volum jualan runcit pada Q3 2023 juga telah mencatatkan penurunan berbanding Q2 2023.

    Nilai jualan runcit telah menurun sebanyak 7 peratus terutamanya didorong oleh penurunan jualan tekstil, pakaian dan kasut sebanyak 29.9 peratus.

    Ini diikuti dengan jualan jam tangan dan barang kemas 14.9 peratus, jualan di gedung serbaneka 11.4 peratus, jualan peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus 9.9 peratus dan jualan di pasar raya 3.8 peratus.

    IJR dan IPM&M adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan memberikan gambaran trend perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan.

    Laporan penuh bagi kedua-dua aktiviti boleh didapati melalui laman sesawang JPES, https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda