Prestasi jualan runcit meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) telah mengeluarkan dua laporan baharu iaitu Laporan Indeks Jualan Runcit (IJR) dan Laporan Indeks Perkhidmatan Makanan dan Minuman (IPM&M) yang akan dikeluarkan secara suku tahunan mulai suku pertama (Q1) 2020.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPES, di sini, hari ini, pada Q1 2020, prestasi jualan runcit di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus jika dibandingkan dengan suku pertama (Q1) 2019.

Peningkatan ini didorong oleh peningkatan permintaan dalam negeri berikutan impak daripada penularan wabak COVID-19 yang telah meningkatkan hasil jualan bagi aktiviti pasar raya, gedung serbaneka, mini mart, peralatan komputer dan telekomunikasi serta peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus.

Kenyataan menambah, berbanding dengan suku keempat (Q4) 2019, hasil jualan runcit telah meningkat sebanyak 6.6 peratus pada Q1 2020.

Peningkatan jualan telah direkodkan bagi aktiviti pasar raya, gedung serbaneka, mini mart, peralatan komputer dan telekomunikasi, perkakasan, cat dan kaca di kedai khusus, peralatan perabot dan rumah, peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus dan lain-lain.

JPES mula mengeluarkan IJR dan IPM&M yang merupakan petunjuk awal prestasi ekonomi bagi aktiviti jualan runcit dan perkhidmatan makanan di Negara Brunei Darussalam. – Gambar oleh Muiz Matdani

Jumlah nilai jualan runcit pada Q1 2020 dianggarkan bernilai sebanyak $406.0 juta, menurut kenyataan.

Bagi perkhidmatan makanan dan minuman di Negara Brunei Darussalam pada Q1 2020 berbanding Q1 2019, prestasi jualan perkhidmatan tersebut telah meningkat sebanyak 0.4 peratus yang didorong oleh aktiviti kedai makanan segera dan perkhidmatan penyajian minuman.

Manakala itu, berbanding dengan Q4 2019, perkhidmatan makanan dan minuman telah mencatatkan penurunan sebanyak 1.7 peratus pada Q1 2020. Ini adalah disebabkan penurunan dalam hasil aktiviti restoran, kedai makanan segera dan lain-lain aktiviti perkhidmatan makanan.

Jumlah nilai hasil perkhidmatan makanan dan minuman pada Q1 2020 adalah dianggarkan bernilai sebanyak $84.9 juta.

Kenyataan menyatakan bahawa IJR dan IPM&M adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan gambaran bagi trend perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan. Laporan penuh bagi kedua-dua aktiviti boleh didapati melalui laman sesawang JPES, www.deps.gov.bn.