KENINGAU, 20 April – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata kepentingan pendidikan serta usaha mengukuhkan pencapaian prestasi pelajar dan sekolah merupakan elemen yang perlu diberi perhatian serius khususnya di kawasan luar bandar.
Sehubungan itu, beliau berkata kerjasama yang kuat antara ibu bapa dan guru sangat penting dalam memperkembangkan sahsiah pelajar untuk menjadi generasi muda yang komited terhadap kemajuan pendidikan.
“Oleh itu, saya berharap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak pengurusan sekolah terutamanya di daerah kecil Sook terus memperkukuhkan jalinan kerjasama bagi memastikan visi dan misi kedua-dua belah pihak untuk melihat kecemerlangan pelajar terus meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Expo Pendidikan 2017 di daerah kecil Sook yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Pekan Keningau, hari ini.
Kurup berkata selain itu suasana persekitaran dan fizikal juga perlu dititikberatkan untuk mengukuhkan lagi pencapaian prestasi pelajar.
“Oleh itu pembangunan sekolah merupakan satu keperluan dalam membentuk generasi berilmu khususnya kawasan luar bandar agar mereka turut menikmati tahap pendidikan yang lebih baik dan sistematik,” katanya. – Bernama