Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Prestasi pemain naturalisasi tidak memuaskan

    KUALA LUMPUR, 30 MEI – Legenda bola sepak kebangsaan Malaysia, Datuk Santokh Singh meluahkan rasa kecewa dengan prestasi yang ditonjolkan barisan pemain naturalisasi Malaysia dalam dua aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini yang menyaksikan keputusan tidak memihak kepada skuad Harimau Malaya.

    Bekas tonggak pertahanan Selangor itu juga turut mempersoalkan keperluan mengambil pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan Malaysia, yang menurutnya tidak memberikan impak besar kepada prestasi keseluruhan pasukan.

    “Mereka kalah 0-2 (kepada Bahrain), jadi apa perlunya bawa masuk pemain naturalisasi untuk bermain? Dulu tanpa pemain naturalisasi pun Malaysia boleh layak ke Sukan Olimpik. Sekarang bawa mereka (pemain naturalisasi) pun tidak boleh bantu catat kemenangan.

    “Saya tidak marah pada mana-mana pihak, tetapi saya marah kenapa mereka (pemain naturalisasi) tidak dapat beraksi seperti di Liga Super yang menyaksikan mereka berjaya memikat hati untuk dinaturalisasikan. Bermainlah demi rasa cinta kepada negara,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Santokh, 68,  yang merupakan antara watak penting dalam kejayaan skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 (kemudian menarik diri sebagai membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan), mengakui beliau tidak menggemari idea pengambilan pemain naturalisasi beraksi dalam skuad kebangsaan kerana memikirkan peluang dan nasib pemain tempatan.

    “Apakah yang akan terjadi kepada pemain-pemain tempatan kita yang berlatih bersungguh-sungguh untuk menyarung jersi negara? Untuk siapa mereka nak bermain lagi kalau bukan pasukan negara,” katanya,Skuad kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe tewas 1-4 kepada Kuwait dalam aksi pemanas badan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Ahad lepas sebelum tunduk 0-2 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bahrain, Riffa, semalam.- Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda