Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Prestasi pengurusan pasukan, pemain Harimau Malaya tidak berdaya saing

    KUALA LUMPUR, 15 OKT – Prestasi pengurusan dan para pemain skuad bola sepak kebangsaan Malaysia disifatkan sebagai lemah dan tidak berdaya saing, ekoran kekalahan 0-4 kepada New Zealand pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium North Harbour, Auckland, semalam.

    Penganalisis bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berpandangan, kekalahan besar itu menggambarkan kelemahan ber-terusan dalam aspek mengendalikan pasukan kebangsaan, kerana masalah berkenaan bukan pertama kali berlaku.

    “Pelbagai alasan diberikan tanpa mengakui kepincangan pihak pengurusan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Selain kelemahan pengurusan, Pekan turut mengkritik aspek persembahan pemain di atas padang selepas pasukan mempamerkan prestasi yang mengecewakan biarpun dibarisi pemain utama yang berpengalaman.

    “Pemain beraksi longlai, kawalan dan penguasaan bola yang lemah, tidak bersemangat dan tidak kompetitif, walaupun kesebelasan utama dibarisi pemain-pemain berwajah hebat seiras juga dengan pemain-pemain New Zealand. Namun persembahan ‘Demi Lencana Di Dada’ itu tidak begitu menonjol, malah komitmen mereka di padang boleh dipertikaikan peminat,” kata Pekan.

    Beliau turut membangkitkan pendekatan Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Malaysia, Pau Marti Vicente yang dilihatnya masih ‘bereksperimen’ walaupun sudah mempunyai pengalaman bersama pasukan lebih dua tahun sebagai pembantu kepada Kim Pan Gon.

    Pekan berkata ketidakpastian Vicente dalam merangka strategi pada perlawanan semalam menyebabkan corak pemain pasukan negara tidak konsisten.

    “Faktor terakhir sudah pastilah tertumpu kepada percaturan Vicente. Beliau sepatutnya sudah lebih mengenali skuad ini ketika bersama Pan Gon sebagai pembantu jurulatih. Kelebihan itu tidak digunakan sebaik-baiknya oleh Vicente,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda