KUALA LUMPUR, 8 SEPT – Prestasi perdagangan Malaysia dijangka meneruskan momentum positifnya mulai bulan Jun hingga ke separuh kedua tahun ini, disokong oleh pembukaan semula sektor-sektor ekonomi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata hanya perniagaan penting sahaja dibenarkan beroperasi semasa PKP, manakala sekatan pergerakan di kebanyakan bahagian dunia telah menjejaskan rantaian bekalan global.
“Bagi saya, situasi terburuk telah pun berakhir. Penurunan utama dalam perdagangan dan eksport kita sebenarnya berlaku pada bulan April dan Mei dengan eksport jatuh lebih 20 peratus disebabkan pelaksanaan PKP bermula 19 Mac.
“Kita gembira melihat peningkatan perdagangan kita pada Jun yang mana eksport mengukuh sebanyak 8 peratus dan ia terus meningkat pada Julai sebanyak 3.1 peratus, menjadikannya dua bulan berturut-turut mencatatkan peningkatan (perdagangan),” kata beliau kepada pemberita di luar acara ‘eNational Export Day (eNED)’ 2020 di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong berkata jumlah dagangan Malaysia pada Jun 2020 mengembang 1.7 peratus kepada RM144.78 bilion sementara eksport melantun dengan peningkatan 8.0 peratus kepada RM82.82 bilion. – Bernama