SAINT PETERSBURG, 30 OGOS – Ketua tentera upahan Rusia, Yevgeny Prigozhin, yang terbunuh dalam nahas pesawat dua bulan selepas melancarkan pemberontakan yang singkat, telah dikebumikan kelmarin dalam satu upacara rahsia di kampung halamannya, Saint Petersburg.
Dia dipercayai telah dikebumikan di tanah perkuburan Porokhovskoye di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat selepas firmanya berkata satu upacara peribadi telah diadakan untuk panglima perang di dalam suasana tertutup.
Tanah perkuburan itu ditutup dan akses dihadkan, tetapi seorang jurugambar AFP melihat belakang kubur Prigozhin yang baharu, yang ditanda dengan salib kayu.
Di tapak pengebumian, orang yang berkabung meninggalkan petikan berbingkai dari ‘Nature Morte’, puisi oleh penyair Soviet dan Pemenang Hadiah Nobel, Joseph Brodsky, yang mengandungi perkataan ‘hidup atau mati?’
Perkhidmatan media Prigozhin hanya mengatakan bahawa upacara persendirian telah diadakan untuk Prigozhin – yang diberi gelaran Wira Rusia, penghormatan tertinggi negara – di tanah perkuburan yang terletak di pinggir timur laut Saint Petersburg.
“Majlis perpisahan Yevgeny Viktorovich diadakan secara tertutup. Mereka yang ingin mengucapkan selamat tinggal boleh melawat tanah perkuburan Porokhovskoye,” kata firmanya.
Pegawai Ukraine berkata kerahsiaan upacara tersebut mencadangkan Kremlin bimbang mungkin berlakunya protes.
Pengebumian itu nampaknya menutup tirai bad luar biasa dalam sejarah Rusia baru-baru ini yang menyaksikan Prigozhin membantu mengetuai serangan Moscow ke atas bandar di timur Ukraine dan mencabar kepimpinan Moscow. – AFP