TAWAU, 7 SEPT – Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) peringkat negeri Sabah dilancarkan hari ini bagi meningkatkan kesiapsiagaan komunikasi semasa bencana dan kecemasan, khususnya di kawasan yang mengalami gangguan atau ketiadaan talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pelancaran unit PRIME di Sabah itu menjadikan jumlah keseluruhan dua unit setakat ini, dengan satu lagi telah dilancarkan di Semenanjung Malaysia.
“Unit PRIME ini akan digunakan terutamanya apabila berlaku bencana dan akan membantu pasukan petugas untuk melaksanakan operasi, khususnya di kawasan yang terputus talian atau tidak mempunyai sebarang talian Internet.
“Kita ingat apabila tragedi tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di Batang Kali (Selangor) dua tahun lepas, terdapat masalah talian Internet menyebabkan bukan hanya petugas keselamatan yang menghadapi masalah, tetapi petugas media juga menghadapi kesukaran … sekiranya unit PRIME digerakkan ke lokasi kejadian, maka masalah ini akan dapat diatasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan PRIME peringkat Sabah bersempena dengan program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam, hari ini.
Fahmi berkata teknologi PRIME akan diperluas ke kawasan lain yang memerlukan, selaras dengan komitmen kerajaan meningkatkan kecekapan komunikasi semasa bencana. Mengulas lanjut, beliau berkata PRIME juga akan digerakkan ke kawasan komuniti yang tidak mempunyai sebarang akses Internet dan sebagai permulaan, unit di Sabah akan digerakkan ke kawasan Parlimen Kalabakan bagi menyantuni penduduk yang tidak mempunyai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
“Kita akan membawa unit PRIME ke kawasan berkenaan dan melaksanakan pelbagai program seperti Kempen Internet Selamat, e-Kesihatan serta meningkatkan literasi digital dalam kalangan komuniti,” katanya. – Bernama


