Walaupun terkenal sebagai pelakon di industri Hollywood dan juga Bollywood, Priyanka Chopra nampaknya turut mempunyai momen sulit dalam kehidupannya. Momen tersebut adalah dia telah menjadi mangsa buli.
Kongsinya di salah satu temu bual lama, Priyanka telah mengalami diskriminasi kaum di sekolah kerana warna kulitnya.
“Sejak kecil lagi warna kulit saya lebih gelap dan ia menyebabkan saya menjadi bahan jenaka orang terdekat. Ketika saya mungkin dalam darjah 10 apabila rakan sekolah selalu memanggil saya dengan nama seperti ‘gadis coklat’, ‘gadis kari’ dan ‘keturunan gajah’”.
Memetik laporan Murai.My, Priyanka yang tidak tahan dengan ejekan tersebut, dia telah berusaha keras untuk mencerahkan warna kulitnya. Isteri kepada penyanyi Nick Jonas itu didakwa telah menggunakan pelbagai krim pemutih yang menjanjikan pencerahan segera.
“Seperti kebanyakan remaja pada masa itu, saya juga terpengaruh dengan iklan memutihkan badan.”
Namun Priyanka mengakui rasa tidak yakin yang dialaminya berlarutan sehingga awal 20an. Dia juga membintangi iklan pemutih kulit, yang dia akui itu adalah salah satu keputusan yang paling dia kesali sehingga ke hari ini.
“Tetapi kemudian saya belajar untuk menyayangi diri saya sendiri. Sekarang saya boleh katakan bahawa saya sangat menyukai warna kulit saya.”
Walaupun pada awalnya Priyanka berasa tidak yakin, namun pelakon itu mengakui dia bernasib baik kerana dapat mengharungi zaman gelap dalam kehidupannya itu. Dia menjelaskan bahawa dirinya perlu kuat untuk menahan semua ejekan yang dilemparkan kepadanya.
Selain daripada isu warna kulit, Priyanka Chopra juga pernah mendedahkan bahawa industri hiburan telah memintanya untuk menurunkan berat badan. Tujuannya adalah untuk Priyanka kelihatan lebih kurus dan langsing untuk mudah muncul dalam iklan serta projek komersial lain. – Agensi


