KOTA KINABALU, 13 NOV – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) akan membuka tiga pusat media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November nanti.
Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi hari ini, pusat berkenaan akan beroperasi bermula 15 hingga 29 November, dari 9 pagi hingga 9 malam di tiga lokasi, iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Bagi Kota Kinabalu, pusat media di The Majulan Hotel (The Sapphire Room), Penampang; manakala di Sandakan (Board Room 1, The Pavilion Hotel) dan Tawau (Bohayan Hall, Heritage Hotel).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut menyediakan kemudahan ruang bekerja dan akses Internet untuk para pengamal media, bertempat di 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) seluruh Sabah.
“Para pengamal media diundang untuk menggunakan kemudahan yang disediakan serta mendapatkan maklumat di pusat media berkenaan,” menurut kenyataan itu. – Bernama


