Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tinjau produk Brunei di Pusat Mustafa

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Pelbagai produk berkualiti tinggi buatan Negara Brunei Darussalam kini boleh didapatkan di Pusat Mustafa, Singapura bermula 17 Oktober dengan kontena pertama produk buatan Brunei telah dieksport ke pusat berkenaan dari Pelabuhan Muara pada 26 September lalu.

    Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Sidek bin Ali telah mengadakan lawatan ke Pusat Mustafa pada 21 Oktober lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Darussalam Enterprise (DARe), di sini.

    Turut mengiringi semasa lawatan berkenaan ialah Pengarah Pembangunan Perusahaan DARe, Dayang Norlela Suhailee di mana rombongan lawatan telah dialu-alukan oleh Pengarah Urusan Mohamed Mustafa & Shamsuddin Company Pte Ltd, Singapura, Mustaq Ahmad.

    Keberadaan produk-produk Brunei di Pusat Mutafa berkenaan membuktikan komitmen kedua-dua negara iaitu Brunei dan Singapura dalam memupuk kolaborasi ekonomi dan mengetengahkan kualiti luar biasa produk-produk buatan Brunei dalam pasaran mantap Singapura.

    Ia juga merupakan langkah ke hadapan yang signifikan dalam kerjasama dan pertumbuhan berterusan antara Brunei dan Singapura serta juga merupakan pengiktirafan antarabangsa kepada produk-produk buatan Brunei.

    Kolaborasi antara Pusat Mustafa dan pengeksport Brunei melambangkan dedikasi tidak berbelah-bahagi untuk mempromosikan produk-produk buatan Brunei pada skala global.

    Antara produk-produk Brunei yang diketengahkan di Pusat Mustafa adalah BruneiHalalFoods Keropok dan Minyak Masak Sayur, Keropok Udang Marimin, Sos Cili Cinta, Teh Tarik Sabli’s dan Biskut Buatan Tangan Taurean Bakeshop and Cafe.

    Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) melalui DARe terus bekerjasama dengan kementerian-kementerian relevan, agensi dan rakan sejawat luar negara untuk memudahkan eksport produk-produk Brunei.

    Usaha itu bertujuan untuk mengembangkan dan mempelbagaikan peluang-peluang pasaran bagi pengeluar tempatan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang negara menerusi output yang lebih besar dan peningkatan produktiviti.

    TYT Dato Paduka Haji Sidek dan Dayang Norlela semasa mengadakan lawatan ke Pusat Mustafa. – Gambar serahan DARe

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...