Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Usaha untuk mengembangkan lagi perniagaan perusahaan tempatan memasuki pasaran mencatatkan perkembangan positif dengan tiga buah perniagaan Brunei telah memeterai perjanjian bagi mengeksport ke Sabah berikutan penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE).
Penandatanganan perjanjian itu diumumkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei
(LKEB) melalui Darussalam Enterprise (DARe) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Majlis penandatanganan bagi tiga buah syarikat Brunei iaitu PDS Abattoir Sdn Bhd (PDS), Royal Brunei Culinary Sdn Bhd (RBC) serta BMC Food Industries (B) Sdn Bhd telah diadakan di Pavilion Brunei di SIE, kelmarin.
Penandatanganan telah disaksikan oleh Menteri Keusahawanan dan Pembangunan Perindustrian Sabah, Tuan Yang Terutama Phoong Jin Zhe; Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Negara Brunei Darussalam, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab yang juga ahli Lembaga LKEB dan DARe serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif LKEB dan DARe, Daniel Leong.
Perjanjian-perjanjian yang telah dimeterai adalah pengedaran antara PDS Abattoir Sdn Bhd dan Jetsin Sdn Bhd bagi penjualan produk-produk daging berproses PDS, antara BMC Food Industries (B) Sdn Bhd dan Jetsin Sdn Bhd bagi corned beef dan daging berproses bukan bertin BMC dan antara BMC Food Industries (B) Sdn Bhd dan Moh Heng Sdn Bhd bagi produk-produk BMC dan produk corned beef TGT serta memorandum persefahaman (MoU) antara RBC dan Jetsin Sdn Bhd bagi pembekalan produk makanan beku RBC.
Jetsin Sdn Bhd adalah sebuah pengedar dan penjual dari Sabah, dengan rangkaian pembekalan ekstensif yang meliputi beberapa pasar raya, hotel dan rantaian restoran terbesar di negeri berkenaan. Sementara itu, Moh Heng Company adalah salah satu pengedar terbesar di Malaysia Timur yang pakar dalam produk pengguna yang bergerak pantas.
Bagi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, PDS dan RBC, kedua-duanya di bawah bidang kuasa Darussalam Assets Sdn Bhd, perjanjian mereka adalah sebahagian daripada usaha meluas untuk menyumbang kepada sekuriti makanan negara, membangunkan produk pengganti import dan meningkatkan eksport produk tempatan dalam menyokong matlamat negara Wawasan Brunei 2035 bagi mempelbagaikan ekonomi.
Daniel Leong ketika mengulas mengenai penandatanganan perjanjian berkenaan berkata, DARe komited untuk membantu perusahaan Brunei dengan sokongan KSSUP serta pihak-pihak berkuasa yang berkaitan untuk memasuki pasaran luar negara dengan membantu mereka membina keupayaan dalaman, mengembangkan perkhidmatan dan produk serta menghubungkan mereka dengan rakan-rakan perniagaan luar.
“Perjanjian eksport ini adalah pencapaian bermakna bagi perniagaan kita dan kami akan berusaha ke arah memudahkan lebih banyak peluang untuk perusahaan tempatan melakukan perniagaan di luar negara,” ujarnya.
Beliau menyatakan lagi, SIE secara khususnya telah menjadi sebuah platform strategik bagi perniagaan Brunei bukan sahaja meneroka pasaran Sabah tetapi juga peluang-peluang di dalam rantau BIMP-EAGA (Kawasan Pertum-buhan ASEAN Timur Brunei
Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina).
Pavilion Brunei di SIE merangkumi 21 buah syarikat yang mewakili delegasi terbesar daripada Negara Brunei Darussalam ke Ekspo Anta-rabangsa Sabah sehingga hari ini.
SIE diadakan pada 21 hingga 24 September dan ia dipasarkan sebagai pesta perdagangan unggul Sabah di mana ia dianjurkan setiap dua tahun sekali dengan matlamat untuk memupuk peluang-peluang perniagaan serta mengetengahkan produk dan perkhidmatan daripada BIMP-EAGA.
Peluang bagi perniagaan Brunei untuk mengambil bahagian dalam SIE ditaja dan dipermudahkan oleh DARe yang juga akan membantu mereka menerusi peluang akses pasaran dan pemadanan perniagaan bagi perniagaan-perniagaan Brunei yang mengambil bahagian sepanjang acara berkenaan.