Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Produk-produk buatan Brunei kini mula menembusi pasaran luar negara dengan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) menerusi Darussalam Enterprise (DARe) mengumumkan eksport pertama produk-produk buatan Brunei ke Pusat Mustafa di Singapura.
Sehubungan itu, sebuah majlis istimewa telah diadakan di Pelabuhan Muara, hari ini, bagi menandakan mercu tanda signifikan berkenaan.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab yang juga ahli Lembaga LKEB dan DARe; Timbalan Setiausaha Tetap I di KSSUP, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap II di KSSUP, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC), Zeng Caili dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif LKEB dan DARe, Daniel Leong serta wakil-wakil dari KSSUP dan DARe.
Ini menandakan satu pencapaian dalam perkembangan keberadaan Brunei di pasaran antarabangsa.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe, di sini, eksport ke Pusat Mustafa berkenaan telah disatukan dalam sebuah kontena berukuran 20 kaki dipenuhi dengan produk-produk buatan Brunei serta akan berlepas ke Singapura esok menerusi Amann Shipping.
Kejayaan inisiatif eksport berkenaan adalah hasil usaha bersepadu oleh DARe dan KSSUP untuk memudahkan akses bagi produk-produk Brunei yang diproses dan dibuat, ke pasaran antarabangsa.
Akses ke pasaran luar negara memerlukan gabungan penyelarasan dasar, promosi produk dan kesediaan untuk berunding mengenai harga serta kekerapan bekalan dengan pengimport-pengimport berpotensi.
Terdahulu sebelum itu, siri sesi pendekatan dengan Pusat Mustafa telah dipermudahkan oleh DARe termasuk lawatan ke Pusat Mustafa
Singapura pada April lalu dan sebuah seminar yang diadakan di Brunei yang menumpukan kepada pengeksportan kepada Singapura daripada perspektif seorang pembeli.
DARe juga telah mengadakan sebuah sesi pensampelan produk yang mengetengahkan produk berpotensi dieksport dan produk yang sedia dieksport serta memudahkan rundingan harga antara Pusat Mustafa dan pengeksport-pengeksport berpotensi.
Hasil daripada itu, Pusat Mustafa telah menyatakan komitmennya untuk membeli produk-produk dari lima buah syarikat Brunei iaitu Ghanim International Sdn Bhd, Marimin Sdn Bhd, Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, Sahamada Corporation Sdn Bhd dan Taurean Bakeshop & Cafe, mengukuhkan lagi perjanjian untuk memperoleh produk-produk mereka.