Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Produk daging tercemar punca kematian anak damit di California

    WASHINGTON, 24 NOV – Seorang anak damit di California disahkan meninggal dunia manakala sekurang-kurangnya 10 individu lain jatuh sakit dalam satu wabak keracunan listeria yang dikaitkan dengan produk daging dan ayam sedia dimakan, termasuk kaki ayam, leher itik, betis lembu dan daging khinzir, menurut laporan pegawai kesihatan persekutuan, baru-baru ini.

    Sebuah syarikat berpangkalan di Spartanburg, South Carolina, Yu Shang Food, Inc, telah menarik balik lebih 72,000 paun produk daging dan ayam yang disyaki mencetuskan wabak itu, menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA). Sebahagian produk telah ditarik balik sejak 9 November lalu.

    Makanan terbabit telah diedarkan ke lokasi runcit di seluruh negara serta dijual secara dalam talian. Kes penyakit dilaporkan di empat negeri selepas ujian rutin pada Oktober lalu menemui bakteria listeria dalam produk serta persekitaran pengeluarannya.

    Daripada 11 kes yang dilaporkan, sembilan orang telah dimasukkan ke hospital, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). Dalam satu kes tragis, seorang wanita hamil di California yang mengandungkan anak kembar turut terkesan, menyebabkan kedua-dua anak damit meninggal dunia. Bagaimanapun, listeria hanya dikesan pada salah seorang anak damit, menyebabkan hanya anak damit itu dan ibunya dikira dalam statistik kes.

    Hasil temu bual dengan mangsa dan penemuan makmal menunjukkan kaitan wabak itu dengan produk keluaran Yu Shang Food.

    Walaupun produk itu telah ditarik balik, pegawai memberi amaran bahawa sebahagian makanan mungkin masih disimpan oleh pengguna di peti sejuk atau pembeku mereka.

    Para pengguna juga disarankan supaya membuang produk atau mengembalikannya ke lokasi pembelian. Peti sejuk, bekas, dan permukaan lain yang bersentuhan dengan makanan tersebut juga perlu dibersihkan dan disanitasi. – AP

    Ilustrasi berdasarkan pengimbasan imej mikroskopik elektron (SEM), menggambarkan imej tiga dimensi (3D), yang dijana komputer bagi kumpulan bakteria Listeria monocytogenes. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda