Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Produk herba, HW Beauty tercemar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Orang ramai diseru untuk tidak membeli atau mengambil produk herba, HW Beauty Serbuk Campuran Kurma, Madu & Limau Kasturi susulan amaran keselamatan yang dikeluarkan oleh Health Sciences Authority (HSA), Singapura dan ASEAN Post-Marketing Alert System (PMAS).

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, menyatakan bahawa berdasarkan hasil ujian makmal yang dijalankan oleh HSA, Singapura, produk berkenaan dicemari dengan bahan racun berjadual yang tersenarai di bawah Akta Racun, dan tidak diisytiharkan pada label produk.

    Atas & Bawah: Produk herba yang didapati tercemar.
    – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    Antara bahan yang dikesan termasuk dua jenis steroid iaitu dexamethasone dan prednisolone serta diclofenac iaitu bahan untuk melegakan sakit dan mengurangkan keradangan.

    Orang ramai juga dimaklumkan bahawa bahan-bahan berkenaan diklasifikasikan sebagai ubat yang hanya boleh digunakan untuk rawatan atas arahan dan pengawasan ahli profesional kesihatan berlesen seperti doktor.

    Penggunaan bahan-bahan itu tanpa pemantauan boleh menyebabkan kesan mudarat yang membahayakan kesihatan, terutamanya jika diambil secara berterusan.

    Pengambilan bahan-bahan tersebut secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras gula dalam darah yang boleh mengakibatkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang seperti osteoporosis, peningkatan risiko jangkitan serta boleh mengakibatkan Cushing’s syndrome.

    Ciri-ciri Cushing’s syndrome adalah seperti muka bulat atau moon face serta kegemukkan pada bahagian badan yang atas dengan anggota kaki dan tangan yang kecil. Penghentian steroid tanpa pengawasan perubatan boleh menyebabkan gejala penarikan steroid atau steroid withdrawal effects dan adrenal insufficiency iaitu satu keadaan penarikan steroid yang serius, di mana badan tidak menghasilkan hormon steroid yang mencukupi selepas menghentikan penggunaan steroid jangka panjang.

    Simptom penarikan termasuk keletihan, kelemahan menyeluruh, sakit otot dan sendi, tekanan darah yang rendah, sawan atau shock.

    Diclofenac ialah bahan ubat untuk melegakan sakit dan mengurangkan keradangan yang perlu digunakan di bawah pengawasan perubatan yang rapi terutamanya bagi individu yang mempunyai masalah jantung atau buah pinggang. Penggunaan berpanjangan boleh menyebabkan pendarahan gastrik yang serius serta masalah kardiovaskular seperti serangan jantung dan angin ahmar. Bahan itu juga boleh memburukkan lagi fungsi buah pinggang bagi pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang.

    Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan penjualan produk herba HW Beauty Serbuk Campuran Kurma, Madu & Limau Kasturi. Berikutan daripada amaran keselamatan itu, produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang telah membeli dan memakan produk berkenaan dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan sampingan dan merasa tidak sihat selepas memakan produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Orang ramai juga dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat daripada doktor atau pegawai farmasi sebelum mengambil sebarang produk herba atau suplemen kesihatan. Elakkan daripada membeli atau menggunakan produk daripada sumber yang tidak diketahui terutama melalui platform atas talian.

    Orang ramai juga dinasihatkan untuk meneliti setiap tuntutan produk dengan berwaspada, khususnya produk yang mendakwa memberi kesan segera atau tiada kesan sampingan.

    Pihak yang terlibat dalam penjualan produk berkenaan termasuk penjualan secara atas talian seperti Facebook dan sebagainya, diingatkan bahawa ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun, 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah Akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah.

    Di samping itu, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak $16,000 dan 12 bulan penjara.

    Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan sekiranya mendapati produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini atau mana-mana produk lain yang diragui kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan, Jabatan Perkhidmatan Farmasi.

    Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan pemantauan secara berterusan dan keselamatan orang ramai adalah menjadi keutamaan.

    Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat dan perhubungan lanjut, mereka boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393301 sambungan 208, menghantar e-mel, pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, berjumpa terus Pegawai Komplians dan Perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kg Madaras, Mukim Gadong A atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda