Thursday, March 6, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Produk Insaf ketengah hasil kerja tangan banduan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Ke arah memperkasa pembangunan komuniti dan penyediaan fasiliti bagi peniaga di negara ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) tidak hanya memfokuskan kepada para peniaga yang bergiat aktif malahan juga memberi peluang memperkasa keupayaan golongan yang terpinggir seperti para banduan.

    Dalam hubungan itu, KHEDN melalui Jabatan Penjara telah memperkenalkan ‘Produk Insaf’ iaitu produk hasil kerja tangan banduan-banduan seperti meja seterika, meja kopi, rehal, meja serba guna serta hasil seni kreatif termasuklah khat tulisan jawi melalui ekspo-ekspo dan pameran sebagai usaha untuk menjadikan banduan sebagai insan yang berguna, mempunyai jati diri yang positif, bertanggungjawab, berdisiplin serta mampu untuk berdiri sendiri setelah mereka dibebaskan nanti.

    Perkara berkenaan antara yang dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa menyampaikan Kenyataan Menteri pada Persidangan MMN ke-21, hari ini.

    Menurutnya lagi, selain kemahiran vokasional, para banduan juga mengikuti program pengukuhan jati diri iaitu daripada aspek keagamaan dan kerohanian dengan menghayati dan mengamalkan bacaan Al-Quran dan hafazan serta amalan berzikir.

    Program Hafazan Al-Quran yang telah diperkenalkan sejak tahun 2014 telah mendapat sokongan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu dari segi pembiayaan elaun tenaga pengajar.

    “Alhamdulillah seramai 26 orang banduan telah berjaya menghafaz beberapa juz dalam Al-Quran dan empat orang bekas banduan yang berdaftar sebagai Rakan Seliaan (RS) masih meneruskan pembelajaran hafazan mereka di bawah pengawasan Unit Reintegrasi, Jabatan Penjara,” kongsinya lagi.

    Gambr fail Syahmi Hassan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda