Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Produk kesihatan dicemari bahan berbahaya

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan satu produk kesihatan yang didapati dicemari dengan bahan terlarang atau bahan racun berjadual yang tersenarai dalam Akta Racun 1956 yang tidak diisytiharkan, hasil daripada ujian makmal yang dijalankan oleh Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa produk kesihatan yang dicemari itu adalah Tokki, didapati dicemari sildenafil dan tadalafil, yang boleh memudaratkan kesihatan.

    Sildenafil dan tadalafil adalah ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi doktor. Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan ubat-ubat berkenaan akan ada rasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening.

    Lebih teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.

    Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk berkenaan. Berikutan dapatan itu, produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di negara ini.

    Tokki yang didapati dicemari dengan bahan racun berjadual yang tidak diisytiharkan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk berkenaan dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta-merta. Jika mereka mengalami kesan sampingan dan berasa tidak sihat, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Sementara mereka yang terlibat dalam penjualan produk-produk berkenaan termasuk penjualan secara dalam talian seperti melalui Facebook dan sebagainya, adalah diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah.

    Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa orang, jika didapati bersalah, akan didenda $16,000 dan 12 bulan penjara.

    Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

    Orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Pelesenan melalui talian telefon, 2393301 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, berjumpa terus Pegawai Komplians dan Pelesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau menghubungi Talian Darussalam 123 untuk maklumat lanjut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda