Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Demi merealisasikan salah satu matlamat dalam Wawasan Negara 2035 iaitu ‘ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan’, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan masyarakat di negara ini telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menerokai sumber ekonomi yang bervariasi tanpa bergantung sepenuhnya kepada hasil minyak dan gas.
Dalam hubungan ini, semua pihak mempunyai peranan penting dalam membantu menjana pembangunan dan mempelbagaikan ekonomi negara dengan harapan segala usaha perekonomian yang giat dilaksanakan mampu membantu negara mencatat kemajuan setanding dengan negara lain.
PLATFORM BANTU LUASKAN PRODUK KITANI
Ke arah usaha menyediakan platform bagi syarikat-syarikat dan pengusaha-pengusaha tempatan mempromosikan dan meluaskan lagi pasaran produk masing-masing, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) melalui Darussalam Enterprise (DARe) telah mengadakan Ekspo Produk Tempatan 2023 bertempat di Dewan Bridex 1 dan 2, Jerudong, baru-baru ini.
Ekspo bersempena dengan acara Festival Disember Brunei ke-7 itu merupakan salah satu usaha bersama pihak kerajaan mengetengahkan produk tempatan kepada pembeli sekali gus meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk dan perkhidmatan yang disediakan.
Di samping itu, ia juga diharap mewujudkan peluang kepada pengusaha-pengusaha dan syarikat-syarikat untuk menjana pendapatan; selain membantu mereka memperkasakan lagi sesi networking dan business-matching di antara pembekal dan pemborong untuk mengukuhkan lagi rangkaian perniagaan yang sedia ada.
LEBIH 200 PENGUSAHA REBUT PELUANG
Lebih 200 buah syarikat tempatan telah merebut peluang menyertai ekspo tersebut yang menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan keluaran para pengusaha tanah air meliputi produk pertanian dan agrimakanan; perniagaan, perbankan dan kewangan; dan pembinaan dan hiasan dalaman.
Begitu juga produk dan perkhidmatan hiliran; perkhidmatan pendidikan; perikanan dan pemprosesan makanan laut; makanan dan minuman; pelancongan dan hospitaliti; telekomunikasi dan produk kreatif; pengangkutan dan logistik; fesyen dan pakaian; produk perkayuan; dan lain-lain turut memeriahkan suasana ekspo tersebut.
CIPTA BEG DARIPADA BENANG CHUNKY YARN
Berkesempatan ditemui Media Permata, Pemilik Syarikat Mahyrah, Dayang Haziqah Mahirah binti Morislin mengongsikan produk yang diketengahkan berupa seni kraf tangan anyaman beg wanita yang diperbuat daripada sejenis benang kapas yang disebut sebagai chunky yarn dalam pelbagai variasi warna.
Berkongsi detik mula menceburi bidang perniagaan aksesori kaum hawa ini, beliau berkata sekitar awal Januari lalu, dia bersama salah seorang sahabatnya tekad untuk memanfaatkan masa lapang mereka sementara menanti sebarang tawaran pekerjaan tetap setelah menamatkan pengajian ijazah sarjana muda mereka.
“Kami mula menjadi dropshipper menerusi jualan beg secara dalam talian yang ditempah oleh pelanggan. Dari situlah tercetusnya ilham untuk menghasilkan beg dengan ciptaan jenama tempatan di samping melakar kreativiti tersendiri melalui seni kraf tangan anyaman sebegini,” kongsinya lanjut.
Menerusi penglibatan dalam ekspo berkenaan, Dayang Haziqah berkata acara sedemikian pastinya bagaikan ‘pintu gerbang’ yang mampu menonjolkan lagi produk anak tempatan kepada masyarakat setempat secara meluas.
“Peluang bertemu secara langsung bersama para pelanggan juga menjadi pencetus semangat kami untuk lebih mengetahui maklum balas demi meningkatkan produk kami lagi di masa akan datang,” ujarnya.
GUBAHAN HIASAN BUNGA KERING
Salah sebuah syarikat anak tempatan, Fatin’s Florette juga tidak ketinggalan menyemarakkan salah satu petak di ekspo berkenaan dengan menjana pendapatan menerusi pelbagai jenis bunga kering yang berwarna-warni.
Di samping menyediakan hiasan bunga kering, syarikat ini turut mempelbagaikan produknya dengan mengubah bunga bukan sahaja untuk hiasan dalam rumah bahkan juga sebagai hadiah kepada seseorang.
Dua orang pekerja syarikat berkata sambutan orang ramai begitu memberangsangkan sejak bermulanya ekspo lebih-lebih lagi golongan perempuan daripada semua peringkat usia.