Monday, December 23, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Produk kosmetik dicemari bahan terlarang

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Produk kosmetik Puteri Ratu – Treatment Cream – Whitening Cream yang dikilangkan di Malaysia telah didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan berikutan ujian makmal yang dijalankan Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan bahawa produk kosmetik berkenaan dicemari dengan merkuri yang boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Kenyataan menjelaskan, merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007.

    Penggunaan merkuri dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh meyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

    Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna, yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

    Oleh itu, orang ramai yang telah menggunakan produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Penjualan produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

    Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, berjumpa terus pegawai komplians dan perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau hubungi Talian Darussalam 123.

    Puteri Ratu Treatment Cream Whitening Cream. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda