Monday, May 12, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Produk kosmetik didapati tercemar

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai supaya tidak menggunakan produk kosmetik Deeja Cosmetic Keayuan Semula Jadi Set 5 dalam 1 – Star Cream yang didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan susulan ujian makmal oleh Perkhidmatan Makmal Farmasi, Perkhidmatan Makmal.

    Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesankesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Hydroquinone adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

    Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

    Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan untuk penjualan produk tersebut dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Deeja Cosmetic Keayuan Semula Jadi Set 5 dalam 1 – Star Cream.

    Orang ramai yang telah membeli atau menggunakan produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas penggunaan produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Perkhidmatan Peraturan-peraturan Kesihatan jika mendapati produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

    Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui 2393298 sambungan 208; menghantar e-mel ke alamat pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus pegawai penguatkuasaan farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A; atau hubungi Talian Darussalam 123.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda