Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Produk krim muka dicemari bahan terlarang

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Orang ramai diseru untuk tidak menggunakan produk kosmetik BrilliantSkin Essentials-Whitening Facial Cream-Maintenance Cream dari Filipina kerana hasil ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan, mendapati bahawa produk berkenaan dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan iaitu tretinoin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007.

    Penggunaan tretinoin tanpa nasihat doktor, jelas kenyataan itu lagi, boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

    Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk berkenaan dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta-merta.

    Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Kenyataan menyatakan bahawa penjualan produk berkenaan termasuk secara atas talian seperti melalui Facebook dan sebagainya, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk berkenaan masih di pasarkan di negara ini.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan bagi perhubungan lanjut, mereka boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Pelesenan melalui talian telefon, 2393301 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, berjumpa terus pegawai komplians dan pelesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    Brilliant Skin Essentials-Whitening Facial Cream-Maintenance Cream
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...