Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Produk makanan kucing iaitu Gastrointestinal jenama Royal Canin didapati mengandungi bahan daripada khinzir ‘pork by products’ seperti yang tertera pada pembungkusan produk berkenaan.
Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES), dapatan itu adalah hasil daripada aduan orang ramai ke Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH).

Sehubungan dengan itu KHEU menasihatkan para pemilik perniagaan yang ada menjual produk tersebut di premis-premis mereka dan mana-mana produk makanan haiwan lain yang mengandungi bahan dari khinzir supaya mengasingkan penjualannya daripada produk lain dengan serta-merta daripada penjualan kepada orang awam bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini.
KHEU juga mengingatkan kepada para pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk dan barang gunaan di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk dan barang gunaan import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk adalah yang halal dan suci tidak bercampur dengan yang tidak halal demi menjaga maslahat masyarakat Islam di negara ini dari terjebak mengambil dan menggunakan produk dan barang gunaan yang tidak halal.
Di kesempatan ini, KHEU mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai di atas maklumat berhubung perkara tersebut.
Orang ramai yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dibuat terus ke JHES melalui BKMH dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.