Produk Malaysia bakal Ke China

CHANGSHA, CHINA, 17 NOV – Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bernilai 20 juta Renminbi (RMB) (RM1=1.69 renmimbi) dengan pasar raya besar China, E-Fresh Food Corporation Limited.

Presiden DPUKM Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor berkata menerusi MoU itu, sebanyak 200 produk tempatan daripada kira-kira 20 pengusaha akan dihantar secara bulanan dengan nilai keseluruhan produk berjumlah RMB 20 juta.

Kerjasama ini sekali gus membuka peluang kepada produk Malaysia untuk me-nembusi pasaran China khususnya di pasar raya berkenaan, katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu di Pameran Komoditi Antarabangsa Satu Bandar Satu Produk (OTOP) 2019 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Changsha di sini, pada Sabtu.

‘’Kita berharap kerjasama dengan E-Fresh ini akan menjadi peneraju kepada lebih banyak produk Malaysia untuk diperkenalkan di China,’’ kata beliau.

Pada majlis tersebut, Pengerusi E-Fresh Food Co. Ltd, Arthur Pan menandatangani MoU itu bagi pihak pasaraya berkenaan, manakala Abu Hasan mewakili DPUKM, disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Korporat) Tekun Nasional, Roshaimi Harun. Pameran Komoditi Antarabangsa OTOP 2019 yang bermula 15 hingga 19 November disertai kira-kira 2,000 usahawan dan pempamer dari seluruh dunia. – Bernama