Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Produk nuget ayam baru dilancarkan

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – BruneiHalalFoods telah melancarkan produk terbarunya iaitu nuget ayam yang 100 peratus dibuat dengan kepingan ayam yang dihasilkan oleh Ghanim International UK Limited.

    Pelancaran produk terbaru berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim International Corporation, Dr. Nur Rahman pada majlis yang berlangsung di Hua Ho Manggis Mall, petang tadi.

    Di majlis perasmian itu, orang ramai yang berkunjung ke kotak pameran pelancaran telah dialu-alukan untuk mencuba sendiri produk nuget ayam tersebut dan mereka juga boleh membuat pembelian secara langsung.

    Majlis pelancaran itu diisikan dengan pelbagai aktiviti menarik bagi orang ramai seperti sampel nuget ayam percuma, cabutan bertuah, pertandingan boomerang dan juga tarian nuget bersama maskot Chief Guest Didi.

    Nuget ayam berkenaan juga disahkan pilihan yang lebih sihat oleh Kementerian Kesihatan yang mana ia sesuai untuk dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan serta orang ramai.

    Dr. Nur Rahman bergambar ramai bersama ahli dan kakitangan BruneiHalalFoods.
    Orang ramai semasa berkunjung ke majlis perasmian tersebut.

    Dr. Nur Rahman semasa ditemui menyatakan berkata, “Kami juga turut menampilkan edisi terhad minuman 600ml Oxygenated Ayer bersempena Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan dan pada masa yang sama produk nuget ayam ini kini boleh didapati di pasaran di gedung-gedung pasar raya besar di negara ini.”

    Beliau menjelaskan lagi, produk-produk keluaran BruneiHalalFoods kini semakin berkembang dan telah mendapatkan jumlah jualan yang begitu baik daripada sambutan orang ramai yang menggalakkan sejak diperkenalkan di pasaran.

    Menurutnya lagi, antara produk terbaru lain adalah produk aiskrim dengan tiga perisa yang berbeza iaitu cendol, bubur cha cha dan kelapa yang mana produk ini kini semakin dikenali ramai dan dirancang untuk dijual di pelbagai kedai-kedai runcit.

    Sehingga hari ini, terdapat kira-kira 60 produk BruneiHalal-Foods yang boleh didapati di pasaran di negara ini.

    “Sejak produk BruneiHalal-Foods diperkenalkan di negara ini pada tahun 2016, sambutan orang ramai begitu menggalakkan yang mana setiap produk yang dilancarkan telah berjaya untuk menarik minat pelanggan,” ujarnya.

    Beliau menyatakan harapan, pada masa akan datang, syarikat berkenaan akan dapat menampung permintaan para pelanggan dan akan dapat memperkenalkan produk-produk BruneiHalalFoods ke pasaran antarabangsa.

    Dr. Nur Rahman juga berharap agar produktiviti Brunei-HalalFoods boleh dipertingkatkan untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan lebih baik bagi pengguna di pasaran di samping membekalkan lebih banyak produk di negara ini agar dapat meningkatkan lagi ekonomi negara.

    Katanya lagi, pelanggan yang ingin membuat pembelian produk BruneiHalalFoods boleh juga terus berkunjung ke ibu pejabatnya yang bertempat di Kompleks Warisan Mata-Mata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda