Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Sebagai satu inisiatif bagi mencapai matlamat strategik Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) untuk menarik pasaran pelancongan MICE (Meetings, Incentives, Conferences and Events) khususnya business travellers ke Negara Brunei Darussalam, Acara Brunei Mid-Year Conference and Exhibition 2021 (Brunei MYCE 2021) akan diadakan bermula 1 hingga 30 Jun di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Brunei MYCE 2021 akan menumpukan kepada acara-acara persidangan dan pameran atau ekspo yang menghimpunkan pakar-pakar dan pemain-pemain utama dari dalam dan luar negara khususnya dalam bidang Islamik, perhutanan, tenaga dan teknologi digital, iaitu tema utama bagi Brunei MYCE 2021.
“Walau bagaimanapun, disebabkan penularan wabak COVID-19 ketika ini, maka acara Brunei MYCE pada tahun ini akan lebih memfokuskan kepada audiens atau peserta tempatan dan menjemput pembentang serta pakar-pakar antarabangsa secara maya sahaja.”
Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab selaku timbalan pengerusi Jawatankuasa Brunei MYCE 2021 semasa sidang media mengenai Brunei MYCE 2021 yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, hari ini.
Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik) di Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra; Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Hajah Rokiah binti Haji Badar; Penolong Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Islam Sultan Syarif Ali (UNISSA), Dr Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu; Pengarah Urusan Cityneon Displays & Construction Sdn Bhd, Dato Jack Ting dan Urus setia MYCE, KSSUP, Dayang Noor Rohaya binti Arun.

Hajah Tutiaty menyatakan lagi bahawa Brunei MYCE 2021 bermatlamat untuk memperkenalkan produk pelancongan berbentuk perkongsian ilmu, percambahan fikiran, pemberigaan penemuan-penemuan baharu dalam pelbagai bidang dan peningkatan aktiviti networking serta perniagaan di kalangan para ilmuan dan para pengusaha dari dalam dan luar negara di mana ia diharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Melalui penglibatan pembentang dan peserta dari dalam dan luar negara, maka inisiatif ini adalah selaras dengan visi JKP, iaitu untuk meningkatkan jumlah pelancong dan menyumbang kepada pertumbuhan aktiviti-aktiviti perekonomian termasuk perhotelan, penerbangan, restoran, pengangkutan dan seumpamanya,” jelas Hajah Tutiaty lagi.
Beliau menyatakan bahawa sebagai langkah permulaan dan percubaan, empat tema telah dikenal pasti untuk dijadikan fokus utama Brunei MYCE 2021 di mana keempat-empat tema dipilih berdasarkan kepada kekuatan dan peluang yang dimiliki oleh Negara Brunei Darussalam iaitu ‘Islamik, Perhutanan, Tenaga dan Teknologi Digital.’
Pengendalian acara-acara di bawah Brunei MYCE 2021 itu akan melibatkan kerjasama bukan sahaja dari agensi kerajaan yang berkenaan tetapi juga agensi swasta, badan-badan berkanun (Statutory Bodies), syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs), lain-lain institusi bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi, institusi luar negara, penganjur acara, syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa termasuk para pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dan lain-lain.
Mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Brunei MYCE 2021, boleh mendapatkannya melalui laman sesawang https://www.bruneitourism.com/brunei-myce/ dan akaun Instagram @bruneimyce.