Produk pensanitasi tangan lebihi had keselamatan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Kementerian Kesihatan menerusi Jabatan Perkhidmatan Farmasi memaklumkan orang ramai supaya tidak menggunakan 18 produk pensanitasi tangan berikutan maklumat yang diterima melalui sistem Post Market Alert System (PMAS) daripada pihak berkuasa Negara Singapura yang telah mendapati bahawa produk-produk tersebut mengandungi bahan kimia yang tidak diisytiharkan dan melebihi had keselamatan yang sekali gus dilarang untuk diimport dan dijual di negara ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, produk-produk berkenaan ialah AsepsoTM Professional Hand Sanitiser (60ml); Cuticura Hand Sanitizer (50ml) yang dikilang untuk Pro Anchor Sdn Bhd, Malaysia; Epi KleenGel Hand Sanitizer Gel (500ml) dikilangkan Dan Mor Natural Products & Chemicals Ltd, Israel; Guardian Lavender & Passion Flower Antibacterial Hand Sanitiser (250ml) dan Guardian Aloe & Korean – Mint Antibacterial Hand Sanitiser (50ml) yang kedua-duanya dikilangkan di Malaysia; Kundal Fresh Water Hand Sanitizer+ (500ml); dan Sanitelle® Instant Hand Sanitizer Antiseptic Gel Kids (60ml).

Selain itu, tiga produk yang dikilangkan di Republik Rakyat China iaitu Cath Kidston® Moisturising Hand Sanitiser (15ml); Bacteriostat Wash Free Hand Wash Gel (60ml) dan Cool Day’s Peppermint Instant Hand Sanitizer (70ml).

Begitu juga tiga produk yang dikilangkan di Malaysia iaitu We Daily Instant Hand Sanitiser (60ml), TP 706 Hand Sanitiser (500 ml) dan FairPrice Hand Sanitiser Lavender (60ml) serta Lifebuoy Instant Hand Sanitizer (50ml) yang dikilang untuk Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd.

Empat lagi produk adalah Walch® Instant Hand Sanitizer (250ml); Germ-X® Advanced Hand Sanitizer Original Scent (354ml) yang dikilangkan di Amerika Syarikat; Sanigen Gel Hand Refreshing Gel (600ml) dikilangkan di Worldchem Korea dan Yuri® Hand Gel Green Tea Extract (175ml) yang dikilangkan di PT. Joenoes Ikamulya, Jakarta, Indonesia.

Kenyataan menjelaskan, bahan-bahan kimia yang tidak diisytiharkan dalam produk-produk berkenaan ialah acetaldehyde dan methanol yang boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan sekiranya tidak dipantau dan digunakan dengan betul.

Acetaldehyde adalah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam pelbagai jenis industri yang mana pendedahannya boleh berlaku apabila ia dimakan atau diminum, dihidu dan juga melalui penyerapan kulit. Ia dikategorikan sebagai bahan karsinogenik dan juga mutagenik.

Methanol pula adalah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam industri farmaseutikal sebagai cecair, sebagai agen denaturant ethanol, pembuatan formaldehyde dan sebagai pelarut dalam industri pembinaan seperti cat, varnis dan sebagainya.

Pendedahan kepada methanol boleh berlaku apabila ia dimakan atau diminum, dihidu, dan juga melalui penyerapan kulit yang mana apabila seseorang terdedah kepada methanol, kebanyakannya akan bertukar kepada formaldehyde, dan seterusnya bertukar kepada asid formik pada organ hati manusia.

Asid formik boleh menyebabkan kerosakan kepada otak dan saraf optik serta memudaratkan penglihatan. Tanda-tanda keracunan methanol ialah kesesakan nafas, mual-mual dan muntah, gangguan penglihatan atau kehilangan penglihatan.

Oleh yang demikian, orang ramai yang telah membeli atau menggunakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta merta.

Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.