Friday, December 20, 2024
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Produk permainan minda B-Goolee diberi percuma kepada OKU

    IPOH, 19 DIS – Sekurang-kurangnya 10,000 produk permainan cabaran minda, iaitu B-Goolee akan diberikan secara percuma kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan di sekolah rendah dan menengah termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara tahun depan.

    Pengasas Goolee Sdn Bhd, Dr Kamarulzzaman Ahmad berkata ia sebagai usaha pihaknya dalam memastikan murid khususnya pendidikan khas dapat menikmati keseronokan bermain permainan minda.

    Kamarulzzaman berkata B-Goolee yang bermaksud Braille-Goolee ialah permainan cabaran minda inovatif, diinspirasikan daripada Boardgame Goolee dan juga aplikasi Goolee.

    “Permainan ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut membantu membangunkan kemahiran kognitif, kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah dengan hasil rekaan yang teliti berasaskan Braille.

    “B-Goolee hadir dalam tiga variasi, iaitu B-Goolee Ori, B-Goolee i-See, dan B-Goolee Spark dan setiap variasi ini menawarkan ciri-ciri unik selain bertindak sebagai alat pembelajaran yang amat berkesan, khas untuk individu kurang upaya penglihatan,” katanya dalam sidang media selepas Program Pelancaran B Goolee bersempena dengan Pra-Sambutan Hari Braille Sedunia 2025 di sini hari ini.

    Kamarulzzaman berkata cabaran menghasilkan inovasi permainan ini ialah memastikan ia dapat dimainkan oleh mereka yang bergantung pada deria sentuhan dan pendengaran.

    “Proses awal melibatkan kajian mendalam tentang keperluan golongan OKU penglihatan termasuk cara mereka memahami dan berinteraksi dengan dunia melalui Braille dan tekstur.

    “Ujian prototaip dijalankan bersama komuniti kurang upaya penglihatan bagi memastikan permainan ini benar-benar sesuai untuk keperluan mereka dalam permainan berkenaan,” katanya. – Bernama

    Rizal Abd Razak (hadapan, kiri) dan Haikal Asyraf Mohamad Azizan (hadapan, kanan), yang merupakan OKU penglihatan, menunjukkan cara penggunaan peralatan B Goolee kepada Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing (empat, kiri) di sebuah hotel di sini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda