Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Produk ruji dijangka kekal stabil separuh pertama 2024

    KUALA LUMPUR, 20 DIS – Penyelidikan oleh Hong Leong Investment Bhd (HLIB) mengunjurkan produk ruji kekal stabil pada separuh pertama 2024 susulan kadar pengangguran yang stabil, peningkatan penggunaan dalam rumah berikutan tekanan kos sara hidup dan rasionalisasi subsidi, serta perbelanjaan secara berhati-hati susulan pengetatan syarat kredit.

    Bank pelaburan menjangkakan harga komoditi kekal pada paras semasa dengan peningkatan terhad memandangkan permintaan global yang suram.

    Keadaan itu akan memberikan manfaat kepada peserta makanan dan minuman (F&B) untuk potensi pemulihan margin terutama selepas pusingan kenaikan harga yang dilakukan dalam tiga tahun lepas, jelasnya.

    “Selain itu, ringgit yang lebih kukuh akan menjadi petanda baik bagi produk ruji kerana kebanyakan bahan mentah dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS). Cabang penyelidikan kami menjangkakan ringgit meningkat secara keseluruhannya pada tahun hadapan, dengan purata RM4.44 bagi setiap dolar AS.

    “Bagaimanapun, kami berpandangan impaknya akan dijejaskan sebahagiannya oleh peningkatan perbelanjaan mengurus melibatkan gaji yang lebih tinggi dan kenaikan tarif elektrik,” menurut HLIB dalam nota penyelidikan hari ini.

    Menurut bank pelaburan itu, bagi runcit, pertumbuhan jualan diunjurkan menjadi sederhana tahun ke tahun ekoran kurangnya perbelanjaan mengikut budi bicara disebabkan sentimen pengguna yan suram, persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi, rasionalisasi subsidi dan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda