Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd (TBK) melancarkan TBK Al-Ikhtiyar, iaitu sebuah pelan perlindungan dan simpanan patuh syariah komprehensif yang direka untuk memperkasa individu dalam menjamin masa depan kewangan mereka sambil mematuhi prinsip-prinsip Islam yang menjadikannya produk takaful pertama seumpamanya di Negara Brunei Darussalam.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian pelancaran TBK Al-Ikhtiyar ialah Pengerusi Badan Penasihat Syariah Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd dan Anak-anak Syarikatnya, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof pada majlis yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
Majlis itu dihadiri lebih 250 orang jemputan termasuk Badan Penasihat Syariah, ahli-ahli lembaga, ketua-ketua pegawai eksekutif, pengarah-pengarah urusan dari syarikat-syarikat dan organisasi jemputan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Brunei, Haji Shahridin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya menyatakan TBK Al-Ikhtiyar merupakan produk yang akan membantu dan mengatur secara sistematik pengumpulan simpanan peserta bagi simpanan jangka panjang bersama-sama pulangan yang menarik dengan pelbagai jenis perlindungan mengikut pilihan peserta.
TBK Al-Ikhtiyar terdiri daripada tiga produk iaitu TBK Al-Ikhtiyar Simpanan, TBK Al-Ikhtiyar Pendapatan Persaraan dan TBK Al-Ikhtiyar Ganjaran. Para peserta juga boleh memilih sehingga sembilan perlindungan tambahan untuk pelan TBK Al-Ikhtiyar mereka seperti Faedah Tunai Hospital, Faedah Kemalangan Diri, Pengecualian Caruman dan banyak lagi.
Dengan pengenalan TBK Al-Ikhtiyar, TBK mempelawa individu yang berminat untuk memohon sebagai ejen Takaful Keluarga TBK. Agensi ini merupakan inisiatif progresif yang boleh menyediakan sumber pendapatan tambahan kepada mereka yang berminat untuk menyertai peluang berkenaan.
Sempena pelancaran itu, jerayawara TBK Al-Ikhtiyar diadakan di The Mall Gadong hingga 9 Februari.