Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Produk tempatan berpotensi mendatangkan hasil lumayan

    Oleh Haniq Raffael

     

    USAHAWAN Melayu kini semakin berani dan kreatif dalam memilih perniagaan yang diceburi. Kalau sedekad dulu boleh dikatakan tidak ada orang Melayu dalam pengeluaran minyak wangi tetapi kini mereka bukan sekadar pengedar bahkan mampu menjadi pengeluar dengan membina jenama sendiri. Walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman apatah lagi pengetahuan di dalam bidang tersebut, ternyata ia bukan satu masalah besar kerana situasi itu masih boleh dipelajari sama ada melalui pengamatan, pengalaman atau Internet.

    Begitulah yang dialami oleh Awang Ridzlan Ibrahim dan Dayang Nurafizah binti Haji Ariffin yang merupakan pengusaha minyak wangi dari bahan Gaharu dan mungkin masih asing bagi kita di negara ini jika dibandingkan dengan negara luar yang menghasilkan pendapatan yang begitu lumayan. Menyedari potensi daripada menjalankan perusahaan itu, Awang Ridzlan Ibrahim dan Dayang Nurafizah binti Haji Ariffin turut melibatkan diri dalam mengusahakan pengeluaran minyak harum yang dihasilkan daripada gaharu sejak tahun lalu.

    “Memandangkan ekstrak minyak kayu depu atau kayu gaharu begitu bernilai malah diumpamakan sebagai pokok emas, saya terus mencuba dan memberanikan diri untuk mencuba di dalam pembuatan minyak harum yang dihasilkan daripada ekstrak gaharu. Saya mula meminati haruman apabila pertama kali membuat percubaan dalam penghasilan haruman daripada gaharu dan ternyata ia boleh menghasilkan satu bau dan haruman yang begitu menyenangkan,” kata Awang Ridzlan kepada media. “Apa yang pasti, minyak wangi ini mengandungi 100 peratus minyak wangi tanpa sebarang bahan alkohol,” tambah Awang Ridzlan lagi.

    Keyakinan diri dan ketabahan kedua-dua sahabat ini harus diberi pujian kerana mereka sanggup mengharungi segala kepayahan dan tanggung segala risiko apabila melibatkan diri dalam dunia perniagaan tanpa sebarang pengalaman. Kesungguhan mereka seharusnya dijadikan contoh di kalangan anak-anak muda hari ini untuk tidak hanya bergantung kepada kelulusan semata-mata bagi mengharungi kehidupan pada masa hadapan.

    Dayang Norsyafafwati menerangkan kenapa mereka terus melibatkan diri dalam dunia perniagaan dan mengatakan bahawa mereka tidak suka makan gaji dan bidang perniagaan merupakan satu bidang yang dianggap mencabar dan mengajar mereka erti kesabaran yang tinggi untuk memperoleh sesuatu kejayaan.

    Bangga memperkenalkan produk AFIZA Perfumes & Sunnah hasil produk anak tempatan sendiri yang bermutu dan berkualiti setanding dengan produk wangian luar negara.
    Bangga memperkenalkan produk AFIZA Perfumes & Sunnah hasil produk anak tempatan sendiri yang bermutu dan berkualiti setanding dengan produk wangian luar negara.
    Minyak wangi dengan nama Lambak kelihatan unik dan mempunyai bau yang memberikan kesegaran pengguna.
    Minyak wangi dengan nama Lambak kelihatan unik dan mempunyai bau yang memberikan kesegaran pengguna.

    Di samping itu juga pengusaha anak tempatan kitani ini juga turut mencabar diri sendiri bagi memastikan apa yang diusahakan tidak hanya separuh jalan. “Saya memilih untuk memasarkan produk berasaskan wangian kerana mempunyai prospek yang bagus dan boleh berjaya pada masa hadapan,” tambahnya lagi kepada media.

    “Dalam masa yang sama, saya amat meminati wangian. Sudah pasti apa yang diminati akan menjadikan kita lebih mengambil tahu dan ingin mempelajarinya. Dan hari ini, Alhamdulillah walaupun perniagaan ini baru bertapak tahun lepas, sambutan yang diterima amat menggalakkan malah perniagaan kami sudah mempunyai beberapa koleksi haruman yang dihasilkan sendiri,’’ katanya lagi.

    Mengenai produk keluaran Afiza Perfumes & Sunnah, pengusaha itu menjelaskan di mana haruman bagi kaum lelaki yang paling digemari ialah haruman Pesona Iman yang mana mengeluarkan aroma wangian moden. Manakala kaum perempuan pula ialah Vanissa. “Melihat akan sambutan yang begitu memberangsangkan membuatkan saya merasa lebih bersemangat untuk melahirkan lebih banyak lagi haruman yang terkini, namun bukan dengan cara hentam atau suka-suka saja kerana kita melihat dari segi bauan yang lebih mendapat sambutan dan penggemarnya,” tambah Awang Ridzlan lagi kepada media.

    “Dari sini juga kita dapat melihat dan mempelajari lebih banyak lagi jenis haruman yang digemari di negara kitani, apa yang penting di dalam melahirkan haruman yang lebih berkualiti adalah kesabaran kita untuk melihat dan melahirkan sesuatu yang terbaik dan kebanyakan orang-orang kitani di negara ini lebih kepada jenis bauan yang mempesona, memikat, ceria dan mempunyai kekuatan serta lebih glamor pendek kata yang boleh membuat seseorang terpegun dengan menghidu bauan yang dipakai, dan boleh dikatakan nada deria wangian orang kitani begitu tinggi sekali,” tambah Awang Ridzlan dengan riang dan tawa.

    Kerjasama dengan syarikat luar

    Perusahaan yang dijalankan oleh anak tempatan ini turut bekerjasama dengan Syarikat Dubai yang menghasilkan produk Rasassi dan sokongan daripada syarikat tersebut terus erat dikembangkan.

    Lambak Oud antara minyak wangi yang mendapat sambutan daripada orang ramai.
    Lambak Oud antara minyak wangi yang mendapat sambutan daripada orang ramai.

    Apa yang dapat diperhatikan penjualan haruman dari negara luar seperti Dubai jelas menunjukkan persamaan daripada segi ‘demand’ orang ramai dan pembeliannya malahan sambutan yang diberikan oleh orang ramai terutamanya bagi mereka yang menggemari haruman turut memilih haruman tempatan yang kami hasilkan sendiri dari sini sudah menampakkan bahawa produk tempatan iaitu hasil anak tempatan juga mempunyai tarikan dan keistimewaannya tersendiri cuma apa yang kurangnya di sini adalah sokongan dari pihak-pihak tertentu di dalam membantu mempromosikan produk tempatan.

    “Jika kita lihat sendiri, anak-anak tempatan kitani sebenarnya mempunyai kreativiti dan kemampuan tersendiri di dalam menghasilkan produk masing-masing cuma kita di sini kekurangan dari segi sokongan dari pihak tertentu untuk membantu di dalam mempromosikan produk negara kitani sendiri dan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa produk kitani setanding dengan produk-produk luar  negara,” ujarnya.

    Walaupun baru melibatkan diri dalam bidang perusahaan minyak harum dari gaharu ini, namun sambutan yang diberikan memang memberangsangkan bahkan menurut Ridzlan ada sesetengah pelanggan beliau juga membuat tempahan mengikut jenis bau yang digemari dan menempahnya dari rumah selain berkunjung ke kedai kami di sini.

    Ini terbukti apabila ada pelanggan beliau yang bertaraf VIP membuat pemesanan minyak wangi gaharu buatan tempatan untuk dibawa ke luar negara kerana jelas pelanggan beliau berkenaan jika membeli di luar negara ianya lebih mahal dibandingkan minyak gaharu tempatan sedangkan kualiti dan baunya lebih memuaskan berbanding yang terdapat di luar negara dan ini juga sekali gus menyokong perusahaan anak-anak tempatan.

    Untuk perancangan di masa hadapan pula tambah Ridzlan, beliau berazam untuk mempertingkatkan dan mengembangkan perusahaan Minyak Harum Gaharu beliau dan berharap akan ada pihak tertentu untuk sama-sama membantu mempromosikan lagi perusahaan ini dan juga perusahaan anak-anak tempatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda