BANDARAYA HO CHI MINH, 5 APRIL – Eksport produk akuatik Vietnam mencatat pertumbuhan positif dalam suku pertama tahun ini dan membawa haprapan baharu kepada keseluruhan industri makanan laut termasuk produk tuna diproses, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Menurut Persatuan Pengeluar dan Pengeksport Makanan Laut Vietnam (VASEP), eksport tuna dalam tin dalam tempoh rujukan meningkat 53 peratus tahun ke tahun, dengan nilai lebih AS$196 juta, peningkatan sebanyak 21 peratus tahun ke tahun.
Pakar pasaran tuna VASEP Nguyen Ha berkata pada tahun ini pengeksport tuna Vietnam telah meluaskan pasaran eksport sejak awal tahun lagi. Dalam suku pertama tahun ini, produk tuna dihantar kepada lebih 80 pasaran berbanding kepada 70 pasaran dalam tempoh sama tahun lepas.
Eksport tuna ke Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) merosot tetapi pasaran yang lain menyaksikan pertumbuhan yang tinggi, terutamanya di negara-negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang menyaksikan eksport tuna terus meningkat.
Penghantaran ke Kanada dan Chile, masing-masing meningkat sebanyak 146 peratus dan 116 peratus.
Perangkaan daripada Pusat Perdagangan Antarabangsa (ITC) menunjukkan Vietnam ialah pembekal ketiga terbesar tuna untuk Kanada pada 2023, selepas Thailand dan Itali.
Pada tahun lepas, import tuna Kanada daripada pembekal utama merosot dengan ketara kerana beberapa tahun ini pengguna di Kanada mengurangkan pengambilan makanan akuatik termasuk tuna. Mereka bertukar kepada sumber protin yang lebih murah.
Bagaimanapun, eksport tuna Vietnam ke Kanada dijangka akan pulih kerana permintaan pengguna produk akuatik di negara-negara Amerika Utara diramal meningkat dalam lima tahun akan datang, menurut wakil VASEP itu.
Di Eropah, Portugal ialah pengimport keenam terbesar tuna Vietnam dalam kalangan anggota EU dengan perolehan importnya mencecah lebih AS$220,000 dalam suku pertama tahun ini, dua kali ganda daripada tempoh sama tahun lepas.
Walaupun perangkaan itu adalah sederhana, ia memberi isyarat masa depan yang cerah untuk eksport tuna Vietnam ke pasaran ini. – Bernama


